TIDAK serik, penyanyi Noh Salleh sekali lagi memancing perhatian ramai apabila berkongsi nama penuh anak angkatnya, Musa dalam media sosial.
Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh, 39, memuat naik perkara tersebut selepas seorang netizen mempersoalkan mengapa nama musa berbinkan namanya.
Musa Mohammad Noh bin Abdullah,” kata vokalis kumpulan Hujan itu kepada seorang netizen dalam ruangan komen.
Tindakannya berkongsi nama penuh anak angkatnya dan ibu kandung Musa menerusi sebuah hantaran Instagram itu bagaimanapun dipertikai ramai kerana dikatakan tidak sensitif.
Meskipun diasak kecaman, Noh yang popular menerusi lagu Angin Kencang itu tidak memadam komen tersebut.
Sejak minggu lalu, drama perebutan anak antara Noh dan bekas isterinya, Mizz Nina mencuri tumpuan ramai apabila penyanyi itu dikatakan mengambil Musa tanpa kebenaran.
Nina atau nama penuhnya Shazrina Azman, 44, serta ibu kandung Musa dikenali sebagai Athira turut menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan Noh mendedahkan wajah anak kecil itu secara terbuka dalam media sosial.
Dalam masa sama, Nina menjelaskan Noh sudah hilang hak penjagaan Musa selepas mereka bercerai pada Ogos 2022.
Rentetan itu, Noh seterusnya membuat permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial kerana mendedahkan wajah Musa dan menjelaskan tidak mengetahui perjanjian antara Mizz Nina dengan Athira.
Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh mendirikan rumah tangga dengan Nina pada Julai 2011 namun mengumumkan perceraian pada 4 Ogos 2022 lalu. – HIBGLAM