‘Nak benci saya? Silakan’ – Shiha Zikir

PENYANYI bertubuh genit itu pernah melalui fasa sukar untuk menempatkan nama dalam industri. Bakatnya yang dicungkil menerusi program Mentor musim kelima saat bergelar protege kepada Biduanita Negara, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini seperti dipandang sebelah mata.

Terkenang kisah lampau, pemilik nama pentas Shiha Zikir itu berkata, pernah suatu tahap, dia berasakan orang seperti tidak suka melihat wajahnya. Untuk terus berada dalam gelanggang seni, dikeji dan diperlekehkan sudah menjadi ‘makanan’ bagi penyanyi berusia 36 tahun itu.

Lebih merobekkan hati, ada dalam kalangan rakan artis memintanya untuk ‘cermin muka sendiri’ sama ada layak atau tidak untuk berada dalam industri.

Tidaklah kecewa, dia bahkan pernah mengalami gangguan mental akibat tekanan perasaan.

Sehinggalah waktu mengubati luka, kesakitan sebegitu menjadi daya kuat Shiha Zikir hari ini.

SHIHA kini layak berbangga apabila ada sahaja lagunya bolos ke Anugerah Juara Lagu (AJL) terrmasuk AJL38 menerusi karya berjudul Kalam. Foto oleh IQBAL ROSLI

“Bertahun-tahun saya dalam industri dan pernah melalui tahap sukar untuk menempatkan nama sebaris dengan penyanyi sedia ada. Saya pernah tidak dipandang, walaupun hanya sebelah mata.

“Kadang-kadang bila saya hendak bersalaman, nak tengok muka saya pun mereka tidak mahu,” ujar wanita kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu.

Sehinggalah pada satu tahap, Shiha sudah terlalu lali dengan kutukan dan kebencian orang terhadap dirinya.

Dalam masa sama, wanita bernama Nurshiha Mohd. Zikir itu berpegang pada prinsip untuk selalu berbuat baik dengan semua orang, walaupun diri sendiri tidak mendapat layanan mesra.

Baginya, tidak rugi jika berbuat baik dengan semua orang, tanpa memilih pangkat atau darjat.

“Kalau nak ikutkan realitinya, banyak perkara pahit yang saya alami sepanjang berada dalam industri. Pun begitu, saya tetap dengan prinsip supaya sentiasa berbuat baik dengan orang lain tanpa ‘pilih bulu’.

“Lagi pun, siapalah Shiha Zikir. Saya bukan artis bila petik jari, boleh dapat semua yang saya mahukan.

“Saya tidak lagi peduli dikutuk yang bukan-bukan. Silakan. Tapi jangan buat perkara sama dengan artis lain, sebab ketahanan mental setiap orang berbeza,” jelasnya.

Kesihatan mental

Ujar Shiha, masalah gangguan mental, depresi dan serangan panik yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu merupakan perkara paling tidak seronok pernah berlaku dalam hidupnya.

Sama seperti pesakit lain, Shiha turut mendapatkan rawatan dan rujukan pakar kesihatan mental, selain perlu bergantung kepada ubat-ubatan.

Memikirkan sehingga bila harus bergantung ubat-ubatan, Shiha bangkit menangani masalah yang dihadapi secara perlahan-perlahan.

BERKAT kesabaran dan kerja keras, Shiha kini boleh tersenyum apabila usahanya selama ini sedang membuahkan hasil. Tatarias oleh NANA CHAH (@nana.chahh)

“Sebelum ini memang saya bergantung dengan ubat-ubatan. Tapi sampai bila? Bila difikirkan semula, saya tidak mahu selamanya hidup bergantung dengan ubat-ubatan.

“Alhamdulillah, saya berjaya tangani masalah itu sedikit demi sedikit, kecuali serangan anxiety atau kebimbangan melampau terhadap kapal terbang,” katanya.

Shiha mula sedar perlu menjadi lebih sihat selepas banyak membaca tentang masalah kesihatan mental, selain dorongan daripada orang-orang sekelilingnya.

“Selain membaca, orang sekeliling saya juga banyak membantu menangani masalah mental yang saya lalui.

“Bila rasa tertekan, mereka yang berada di sekelilinglah yang banyak beri sokongan,” jelasnya.

Takut naik kapal terbang

Shiha sebenarnya berasa sedikit terkilan apabila masalah anxiety yang dialaminya sedikit sebanyak telah mengecewakan peminat, terutama dari Indonesia.

Serangan anxiety yang dialaminya secara tiba-tiba sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 sekitar 2021, menutup peluangnya untuk terus melebarkan sayap ke negara seberang.

Penyanyi yang pernah menyertai pertandingan Dangdut Academy Asia 2015 di Indonesia itu sendiri pelik dengan serangan anxiety yang dialaminya sekarang, sedangkan pernah kerap ulang-alik antara Malaysia dan Indonesia menaiki kapal terbang.

“Masalah anxiety yang saya alami selepas PKP, membuatkan saya sangat takut menaiki kapal terbang. Saya sendiri pelik sebab sebelum ini, saya kerap ‘turun’ ke Indonesia untuk mengadakan persembahan.

“Selepas PKP, anxiety saya sangat teruk ketika menaiki kapal terbang. Rasa jantung nak tercabut. Bukan setakat ke Indonesia, menaiki kapal terbang dalam negeri pun saya sangat takut,” jelasnya.

SEHINGGA kini, Shiha masih memegang nasihat mentornya, Allahyarham Datuk Sharifah Aini supaya sentiasa berbuat baik kepada sesiapa tanpa mengharapkan balasan. Solekan oleh IQBAL RAFAEL (@iqbalrafael92)

Disebabkan masalah tersebut, Shiha juga terpaksa menolak banyak tawaran mengadakan persembahan yang memerlukan perjalanan menaiki kapal terbang, termasuk ke Sabah dan Sarawak.

“Saya teringin untuk berjumpa dengan peminat di Sabah dan Sarawak. Tapi saya terpaksa tolak undangan kerana masalah kebimbangan melampau ini.

“Saya sangat sedih sebenarnya. Doktor sarankan supaya saya kuat untuk melawan perasaan tersebut. Cuma saya masih belum kuat untuk melakukannya.

“Tapi dalam masa terdekat ini, saya akan paksa diri untuk naik kapal terbang. Doakan saya supaya bertenang,” katanya  menggulung bicara.  – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok