Motosikal hilang kawalan, Zynakal cedera

PENYANYI Zynakal berdepan detik cemas apabila terbabit dalam kemalangan ketika menyertai konvoi motosikal di Janda Baik, Bentong, Pahang, semalam.

Kata pemilik nama sebenar Muhammad Raziq Rosli, 25, itu, dia yang menunggang motosikal berkuasa tinggi hilang kawalan ketika melalui selekoh sehingga terjatuh.

Begitupun, penyanyi lagu Sakit itu memaklumkan hanya cedera ringan iaitu luka pada bahagian tapak tangan serta lutut kanan akibat tersagat jalan bertar.

“Kejadian berlaku semalam ketika saya yang berkonvoi dengan beberapa rakan melalui satu selekoh di kawasan Janda Baik.

“Padahal sebelum itu semuanya okey sahaja. Awalnya kami singgah di satu kedai kopi dan kemalangan berlaku dalam perjalanan pulang.

“Syukur kemalangan ini tidak membabitkan individu mahupun kenderaan lain memandangkan saya terjatuh sendiri,” ujarnya.

Penyanyi dan komposer itu turut berkongsi insiden mendebarkan itu menerusi Instagram miliknya.

“Luka tahun baharu. Terima kasih yang membantu sewaktu kejadian, jangan ‘slide’ kalau takut,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Perkongsian tersebut meraih reapons pengikut serta rakan artis termasuk Alif Satar, Yonnyboii dan Pekin yang mendoakan kesejahteraan kesihatannya.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok