Motosikal hilang kawalan, Ismail Izzani luka tapak tangan, lutut

“Alhamdulillah, Ismail tidak berdepan kecederaan serius, cuma luka pada kedua-dua tapak tangan serta bahagian lutut selepas ‘tersagat’ jalan tar.

Demikian perkongsian pengurus Ismail Izzani, Gizmo atau Rolan Yusof yang memaklumkan penyanyi itu mengalami kecederaan ringan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi sekitar pukul 8 malam tadi.

Menurut Gizmo, motosikal yang dituggang Ismail hilang kawalan akibat jalan licin ketika dalam perjalanan ke sebuah lokasi di Kuala Lumpur.

Saya difahamkan kejadian berlaku di sekitar ibu negara dan keadaan jalan pula basah yang mungkin mengakibatkan motosikal ditunggangnya tergelincir.

“Mujur kebetulan tiada kenderaan lain yang rapat dengan jenteranya, selain ada beberapa rakan turut bersamanya ketika itu,” katanya ketika dihubungi HibGlam sebentar tadi.

Menurut Gizmo lagi, buat masa ini penyanyi lagu Luar Biasa itu sudah mendapatkan rawatan doktor dan hanya perlu berehat di rumah untuk beberapa hari.

Kebetulan Ismail tidak terikat dengan mana-mana persembahan atau komitmen lain dalam tempoh terdekat, jadi boleh rehat dulu.

“Lagipun katanya jangan bimbang, dia cuma cedera ringan dan boleh saja bekerja,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Ismail Izzani Zainal Nazeri, 23, itu berkongsi beberapa hantaran gambar dalam InstaStory yang menunjukkan dia dan motosikalnya tersadai di tepi jalan.

Dalam perkongsian tersebut, kelihatan tapak tangannya berdarah, manakala jentera miliknya terpaksa diangkut menggunakan lori tunda.

Begitupun, Ismail yang dihantar kawannya ke klinik berhampiran dalam perkongsian lain menyatakan keadaannya baik-baik sahaja. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok