Mimi, Syafiq hanya kawan – Iman Tang

“Bukan bercinta, hanya berkawan baik.”

Demikian respons pengurus pelakon Mimi Lana dan Syafiq Kyle iaitu Iman Tang yang menafikan desas-desus dua selebriti itu kembali bercinta.

Iman ketika ditemui HibGlam berkata, meski tidak jadi melangsungkan perkahwinan pada 18 Ogos tahun lalau, Mimi dan Syafiq tidak pernah bermusuhan.

Mereka masih berkawan. Walaupun tidak jadi bernikah, bukan bermakna mereka bermusuhan atau bergaduh.

“Sebab pada waktu kejadian (tak jadi kahwin), saya ada bersama dengan mereka,” katanya.

Kata Iman lagi, bekas pasangan kekasih itu masih mengekalkan hubungan profesional malah baru sahaja selesai menjalani sesi fotografi bersama hari ini.

Mereka memang tiada masalah, sehingga hari ini masih berkawan.

“Hari ini, mereka baru saja selesai menjalani sesi fotografi mempromosikan baju Melayu dan baju kurung untuk sebuah jenama tempatan,” kata Iman.

Menurut Iman lagi, sebagai pengurus, dia terbuka sekiranya kedua-dua pelakon itu kembali  menjalin hubungan cinta.

“Ya, sudah tentu saya mengalu-alukan (Mimi dan Syafiq kembali bersama). Lagipun mendirikan masjid (berkahwin) adalah perkara yang baik dalam Islam.

Saya banyak kali makan malam dengan mereka. Tapi saya tidak pernah bertanya mengenai hala tuju hubungan mereka dengan lebih mendalam kerana masing-masing sibuk bekerja.

“Bagi saya, biar mereka fokus dengan kerja dulu. Mungkin dalam kesibukan bekerja itu ada bibit cinta dan perasaan untuk kembali bersama,” katanya.

Iman turut berharap agar dua pelakon itu dapat memaklumkan hubungan mereka lebih awal sekiranya ada berita baik yang mahu dikongsikan.

Saya berharap sekiranya kembali bersama, mereka akan maklumkan kepada saya lebih awal sebab sebelum ini saya hanyalah jemputan. Saya tidak tahu apa-apa,” katanya.

Terdahulu, Mimi atau nama lengkapnya, Mimi Roziana, 28, dan Syafiq, 32, sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada 18 Ogos tahun lalu dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Janda Baik, Pahang.

Bagaimanapun, Syafiq dan Mimi mengejutkan ramai apabila membatalkan majlis pernikahan mereka pada 11 Ogos 2023 .

Hari ini, , Mimi dan Syafiq ada memuat naik foto mereka menggayakan baju tradisional berwarna biru dalam InstaStory masing-masing, sekali gus menuai teka-teki peminat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok