Mari kita lawan sampai mati – Nonny Nadirah

KALAU solat, tolong doakan saya sekali.”

Satu demi satu rayuan disuarakan pelakon dan penyanyi Nonny Nadirah termasuk menitipkan doa buat dirinya selepas mendedahkan menjadi mangsa sihir sejak tiga tahun lalu.

Menurut Nonny atau nama penuhnya Nonny Nadirah Zainuddin, 34, selain berhalusinasi, wajahnya turut mengalami perubahan gara-gara disihir seseorang.

Maaflah muka sudah senget disebabkan sihir ‘syaitan’ ini. Tiga tahun ya sehingga tidak mampu nak menangis.

“Saya perlu bangkit sendiri dan sangat menghargai sekiranya anda semua boleh memberi sokongan kepada saya.

“Semoga Allah SWT permudahkan urusan kita semua,” kongsinya dalam InstaStory.

Walaupun didakwa menjadi mangsa ilmu hitam, bekas bintang Akademi Fantasia itu akan terus melawan dan tetap memaafkan individu yang menganiaya dirinya.

“Mari kita lawan sampai mati. Tunduk hanya pada yang satu dan tetap berpegang pada kalimah tauhid.

Aku maafkan mereka semua di dunia dan di akhirat. Menyerah? Tidak sama sekali,” katanya lagi.

“Aku tidak berdendam tapi hanya ingin berkongsi rasa. Kau tahu apa yang aku rasa?” ujarnya.

Menerusi perkongsian berbeza, dia turut membaca surah al-Fatihah dan potongan doa pelindung diri

Sementara itu, Nonny turut mengucapkan selamat tahun baharu malah berharap segala urusannya dipermudahkan.

“Selamat tahun baharu 2024. Semoga segala urusan kita dipermudah dan rezeki diperluas selain bahagia di dunia serta akhirat.

Rezeki, jodoh dan ajal maut semua di tangan Tuhan. Tugas aku ialah berserah.

“Kepada yang mendoakan kebaikan, Alhamdulillah manakala semoga mereka yang berharapkan keburukan atau memperluaskan kejahatan kembali ke pangkal jalan,” kongsinya.

Beberapa hari lalu, HibGlam melaporkan Nonny mendakwa hidupnya berterusan diganggu seseorang sehingga menjadi mangsa sihir.

Sebelum ini, anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu pernah memberi bayangan gangguan sihir antara punca dia hilang dari industri hiburan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok