PELAKON Aqasha mendedahkan dirinya kini lebih selektif dalam memilih naskhah lakonan kerana mahu membanggakan dua anaknya.
Kata Aqasha atau nama sebenarnya, Firdee Akassya Rosli, 42, dia berasa malu dan segan dengan anak-anaknya jika melakonkan watak tidak sesuai dengan usianya.
“Harapan apabila menerima skrip, saya akan dapat watak yang buat anak-anak rasa bangga bila menonton lakonan saya.
“Anak-anak pun sudah besar, mereka sudah faham apa yang mereka tonton jadi malulah kalau saya bawa watak-watak seperti dahulu,” ujar Aqasha.
Bapa kepada Alehandra Ahmad, 13, dan Alaena Ayesha, 12, itu berkata, dia tidak pernah berundur daripada dunia seni sebaliknya sebagai ketua keluarga dia lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu tawaran.
“Dulu waktu muda pelbagai bentuk lakonan dan persembahan saya ingin cuba kerana mahu mencari tapak, membentuk identiti dan membina nama.
Sekarang apabila lebih berusia dan berkeluarga, saya ada misi dan sasaran yang lengkap untuk saya jalankan dalam setiap projek akan datang.
“Saya berharap setiap projek dan kerja seni yang saya lakukan akan memberi manfaat kepada orang ramai terutama golongan muda,” jelas Aqasha.
Berkongsi lanjut perkembangan kariernya, Aqasha berkata, dia kini sibuk menjalani penggambaran naskhah berjudul Nafsu untuk siaran laman penstriman Viu.
Sementara itu, untuk kerjaya nyanyian pula dia terlibat dengan projek Lagu Dari Seluloid yang telah pun disiarkan di YouTube.
“SeJujurnya, saya tidak pernah hilang daripada dunia seni. Mungkin orang menyangka saya tidak aktif kerana saya tidak tampil dengan lagu baharu setiap tahun atau enam bulan sekali seperti penyanyi lain.
Pengkarya seperti saya, jika ada rumput yang panjang tidak akan timbul-timbul. Alhamdulillah dalam kalangan rakan industri saya masih tidak tertinggal dan ditinggalkan,” katanya.
Berbicara tentang Lagu Dari Seluloid, jelas Aqasha ini merupakan projek pengakriban dan pendigitalan 10 lagu dari filem 1950-an sehingga 1959 oleh Mac Training Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Studio Funky Brigade.
Menerusi projek ini Aqasha mendendangkan semula lagu Ibu dari filem Ibu serta lagu Wanita dan Teruna (filem Iman) duet bersama Asmidar. – HIBGLAM