‘Mahu taja Tyzo tunai umrah, rawat luka depan Kaabah’

PENGASAS Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tours berbesar hati menaja sepenuhnya penyampai radio, Tyzo menunaikan umrah, sekali gus merawat hatinya yang luka di Tanah Suci Mekah.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Jay Ibrahim menerusi komen yang ditinggalkan dalam Instagram.

Siapa boleh hubungi Tyzo? Saya nak taja pakej umrah untuk rawat jiwanya di depan Kaabah bersama Jay Ibrahim Al Islam,” tulisnya.

Jay Ibrahim ketika dihubungi  HibGlam berkata, dia terpanggil untuk menaja pakej menunaikan umrah kepada Tyzo selepas mengikuti isu yang dilalui jejaka berusia 48 tahun itu selepas ditamatkan kontrak bersama Suria FM atas dakwaan tidak lagi berminat untuk bersama stesen radio tersebut.

Saya terpanggil untuk taja Tyzo menunaikan umrah, sekali gus merawat duka laranya di hadapan Kaabah.

“Semoga apa sahaja kesulitan yang dihadapainya, dipermudahkan Allah SWT,” ujarnya.

Sementara itu, Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain ketika dihubungi, mengkui ada menerima tawaran tersebut namun enggan berkongsi perkara itu dengan terperinci.

Bagaimanapun, bapa kepada seorang cahaya mata itu bersyukur dan terharu dengan tawaran tersebut yang dianggap sebagai ‘hadiah’ terindah.

Betul, beliau (Jay Ibrahim) ada menghubungi saya. Tapi saya tidak boleh kongsikan lebih lanjut tentang tawaran tersebut.

“Apa-apa pun saya sangat gembira dan bersyukur dengan peluang yang diberikan. Alhamdulillah, saya sangat gembira dan menganggap ini sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka,” katanya.

Terdahulu, pada 12 Januari lalu, Tyzo yang mengendalikan segmen Suria Petang bersama Sharifah Shahirah memberitahu kontraknya sebagai penyampai radio ditamatkan dan menganggap tindakan tersebut sebagai satu bentuk penganiayaan.

Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain menerusi hantarannya dalam Facebook meluahkan rasa kecewa apabila tidak rela disingkirkan daripada stesen radio berkenaan.

Dia turut menyifatkan penyingkirannya sebagai harga yang terpaksa dibayar selepas meraih anugerah Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular tahun lalu.

Susulan itu, ramai pendengar setia menzahirkan rasa tidak puas hati sehingga ada yang mahu memboikot Suria FM.

Tyzo ketika ditemui dalam satu sidang media yang diadakan semalam mengakui ada membuat permintaan untuk kenaikan gaji sebanyak RM500.

Tyzo bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dia tidak lagi berminat untuk berkhidmat di stesen radio tersebut.

Katanya, dakwaan tidak berminat itu ibarat mahu menutup perkara sebenar yang enggan didedahkan kepada umum. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok