PERNAH diperli dan dipertikai. Itu yang dilalui seorang pengarah berbangsa Melayu apabila menyuarakan hasrat untuk menghasilkan sebuah naskhah berbahasa Cina.
Pengarah dimaksudkan Tunku Mona Riza berkata, perkara tersebut dihadapinya ketika melontarkan idea untuk mengarahkan filem Rain Town.
Katanya, idea tersebut dizahirkannya kerana mahu menghasilkan sebuah karya mengetengahkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Pada awalnya memang ramai mempertikai dan mempersoalkan mengapa saya mahu mengarah sebuah filem yang bukan berbahasa Melayu.
“Agak terkilan juga dengan pandangan sinis segelintir individu kerana mereka tidak melihat impaknya secara menyeluruh,” katanya kepada HibGlam pada majlis sidang media filem tersebut baru-baru ini.
Tambah Tunku Mona, setiap individu seharusnya menghormati dan bukannya merendah-rendahkan idea orang lain.
“Kita perlu saling menghormati. Agak sedih apabila ada yang menghentam pada peringkat awal.
Industri seni di Malaysia memerlukan lebih ramai pelaku yang berani menghasilkan karya luar kotak dan berani melawan arus.
“Karya tersebut juga harus merangkumi pelbagai aspek seperti budaya dan bahasa selain mengetengahkan perbezaan agama. Jadi, saya himpunkan semua elemen tersebut dalam Rain Town,” katanya lagi.
Di sebalik rasa kecewa ideanya dipandang rendah, Tunku Mona bagaimanapun tetap bersyukur kerana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memberi sokongan penuh dalam penghasilan Rain Town.
“Saya tidak akan mampu untuk menghasilkan Rain Town tanpa Finas kerana mereka mempercayai kemampuan filem ini sekali gus berjaya mendapat geran Finas.
“Adakalanya memang kita perlu keluar daripada zon selesa dan mencuba sesuatu yang baru. Memang banyak cabaran perlu dilalui seperti perbezaan bahasa tetapi syukur semuanya berjalan dengan lancar,” tuturnya.
Berkongsi pengalaman sepanjang tempoh penggambaran, Tunku Mona memberitahu banyak mempelajari tentang budaya kaum Cina daripada para pelakon dan kru produksi.
“Penulis skrip berbangsa Melayu dan pastinya pengetahuan mereka mengenai budaya kaum Cina adalah terhad.
“Syukur penterjemah skrip kami banyak membantu menambah dan memperbaiki jalan cerita. Ada juga pantang larang dan gaya hidup kaum Cina yang kami baru pelajari.
“Memang mencabar tetapi prosesnya sangat menarik sebab belajar sesuatu yang baharu,” ujarnya lagi.
Mona memberitahu, idea Rain Town tercetus selepas mendengar cerita mengenai pertaruhan hujan atau ‘rain betting’ yang terkenal di Taiping, Perak.
“Saya memang ada ketengahkan aktiviti ‘rain betting’ tetapi tidaklah begitu mendalam sebab sedar agak sensitif.
“Jadi, saya cipta isu kekeluargaan dalam keluarga Choo lakonan Chew Kin Wah.
“Isu yang saya terapkan ialah ibu bapa harus peka dengan keinginan anak-anak selain tidak terlalu berkeras dalam mengatur dan menentukan pilihan hidup mereka,” kongsinya.
Enggan meletakkan harapan yang tinggi, Tunku Mona berharap Rain Town dapat memberi mesej yang sangat bernilai kepada penonton.
“Saya tak mahu meletakkan harapan yang tinggi tetapi harap Rain Town membuka mata banyak pihak bahawa pengrah Melayu mampu menghasilkan sebuah karya yang mengetengahkan dialek kantonis.
“Kalau boleh saya mahu filem ini memberi impak positif dan boleh diceritakan kepada anak cucu.
“Saya sudah berjaya dengan filem Redha dan harap Rain Town dapat mengulang kejayaan sama,” ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Harapan Terbaik menerusi filem Redha pada Festival Filem Malaysia ke-29 pada 2017.
Rain Town bakal menemui penonton di pawagam pada 8 Februari depan bersempena dengan Tahun Baharu Cina. – HIBGLAM