PELAKON Yana Samsudin yang baru melahirkan anak ketiga menzahirkan rasa terharu apabila menerima hadiah istimewa daripada suami tercinta, Fadzil Zahari berupa pakej berpantang di sebuah pusat penjagaan ibu bersalin.
Pemilik nama sebenar Nurliana Samsudin, 40, yang melahirkan bayi lelaki secara pembedahan itu mengakui terkejut apabila Fadzil terus membawanya ke pusat berkenaan sebaik keluar hospital.
“Masa masuk dalam kereta saya cakap baju baby tak beli lagi, baru ada dua set, jadi saya pun baru teringat nak beli pad dan kelengkapan ibu bersalin.
“Dia cakap tak payah beli semua itu. Pelik, rupa-rupanya suami buat kejutan bawa ke pusat ini. Tak terfikir Yana akan berpantang di sini sebab di rumah dia dah siap katil di bilik bawah.
“Alasan dia hantar dekat sini sebab nak bagi persekitaran baru, bagi saya selesa macam lepak rumah dan jururawat jaga 24 jam. Makan pakai semua siap, tak perlu fikir apa-apa,” katanya dalam hantaran Instagram.
Pengarah filem Selamat Pagi Cinta itu turut berkongsi gambar lengkap mereka sekeluarga namun tidak mendedahkan tarikh kelahiran bayinya.
Malah Yana yang dimasukkan ke hospital pada 5 Januari lalu akibat praeklampsia atau penyakit darah tinggi yang biasa menyerang ibu hamil mengakui tekanan darahnya masih tinggi.
“Alhamdulillah syukur. Akhirnya bayi lelaki selamat dilahirkan selepas hormon dah kacau bilau sebelum ini.
“Lepas empat hari dekat hospital itu hari, BP (tekanan darah) masih tidak stabil dari 140 sampai ke 170,”
“Suami putuskan nak minta keluar juga dari hospital lepas bersalin walaupun BP tinggi,” ujarnya.
Pada masa sama dia turut berkongsi situasi sebelum bersalin di mana suaminya itu tidak menenangkannya ketika dalam keadaan marah akibat anak-anak bermain dengan kotoran.
Jelas Yana, Fadzil enggan berbuat demikian kerana keadaannya ketika itu sangat garang selain takut terkena tempias kemarahannya yang sedang beremosi.
“Kita tanya kenapa tak peluk masa saya marah sangat malam itu, dia cakap #KakYong garang sangat, nanti dia pun kena marah sekali.
“Tapi saya dah minta maaf dah sebelum bersalin masa tu. Kita bukan materialistik, saya juga manusia biasa, ada perasaan dan ada ketika tak perasan sensitif tiba-tiba,” katanya.
Berkongsi punca serangan darah tinggi, Yana mengakui perkara itu bermula selepas dua anak mereka terlalu aktif sehingga menyebabkannya tertekan.
Perkahwinan Yana dan Fadzil Zahari yang juga penerbit pada 13 Februari 2015 sebelum ini dikurniakan dua cahaya mata, Aisy Mateen, 8, dan Aura Aisy Sofa, 4. – HIBGLAM