Lagu Aina Abdul kuat, bakal juara AJL – Masdo

“Tak mustahil Aina menang lagi AJL.”

Demikian kata kumpulan popular Masdo yang meramalkan penyanyi Aina Abdul bakal dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 3 Mac depan.

Meskipun turut bertanding pada pertandingan berprestij tersebut, Masdo merasakan lagu Jangan Mati Rasa Itu ciptaan Aina mempunyai kekuatan untuk membolot gelaran juara AJL tahun ini.

Dapat melangkah ke pentas AJL38 pun sudah bersyukur. Kami hanya ingin memeriahkan suasana dan tidak ada sebarang sasaran mahupun jangkaan yang tinggi pun.

“Saingan sangat sengit pada tahun ini tetapi kami rasa mungkin Aina menjadi juara sekali lagi kerana lagunya sangat kuat,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi mengenai persiapan, mereka yang terkenal dengan lagu Dinda sudah mempunyai konsep persembahan namun bukan dalam skala berlebih-lebihan.

Kami tidak mempunyai perancangan yang luar biasa seperti keluar dari atas bangunan tetapi lebih menekankan kepada makna lagu dan konsep persembahan.

“Setakat ini perjumpaan sudah dilakukan dengan beberapa pihak untuk berbincang mengenai pakaian yang bakal digayakan pada malam itu. Setakat ini kita biarlah semuanya menjadi rahsia,” ujarnya.

Pada AJL38, Masdo yang dianggotai Ali Sariah, Putuceri, Asmawi dan Azham itu bakal mempertandingkan lagu ciptaan sepenuhnya penyanyi dan komposer, Noh Salleh.

Selain Masdo dan Aina, lagu lain yang berjaya ke pentas AJL 38 adalah Sutera (Aisha Retno/Aisha Retno dan MFMF/Aisha Retno); Santai (Naqiu/Faizal Tahir); Bintang (Hael Husaini) serta Darah (Marsha Milan/Naim Daniel dan Firdaus Rahmat).

Turut bersaing Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat); Hasrat (Amir Jahari/Amir Jahari) Kucuma (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee dan Ezra Kong/A Ramlee dan Ezra Kong) serta Astana (Ernie Zakri/ Omar K, Syamel/Syazriq Azeman)

Lagu Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar dan Nabila Razali/Amylea) juga antara yang berjaya ke pentas AJL38. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok