[VIDEO] Kontrak tamat satu hikmah, sasar terbitkan album – Kaka Azraff

PENYANYI Kaka Azraff menyifatkan penamatan kontrak bersama syarikat rakaman Warner Music Malaysia pada 31 Disember tahun lalu sebagai satu hikmah buat dirinya.

Selepas 12 tahun bergelar penyanyi, Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Azraff, 35, kini lebih selesa dan yakin untuk menguruskan kerjaya seninya sendiri.

Malah, penyanyi yang popular dengan lagu Bawaku Pergi itu merancang untuk menerbitkan lagu dan album pada tahun ini.

Saya mahu keluarkan lebih banyak lagu dan mahu ada album. Sepanjang dengan label saya sepatutnya sudah ada album tetapi sampai sekarang belum ada.

“Mungkin dengan cara menguruskan kerjaya sendiri saya boleh tunaikan impian saya,” kata Kaka.

Meskipun penamatan kontraknya mencetuskan kontoversi, Kaka bagaimanapun melihat perkara tersebut secara positif.

Bahkan hubungannya dengan label terdahulu juga berada dalam keadaan baik dan dia bebas untuk menyanyikan lagu-lagu yang diterbitkan sebelum ini.

“Rupa-rupanya selepas saya keluar dari label banyak ruang dan peluang yang boleh saya jadikan aset saya sendiri.

Jadi perkara ini (penamatan kontrak) adalah sesuatu yang positif dan baik untuk saya. Selepas ini saya boleh rancang perjalanan kerjaya secara lebih luas.

“Soal hak cipta lagu juga tiada masalah, saya boleh menyanyikan lagu-lagu sebelum ini, selepas apa yang berlaku barulah saya tahu kuasa veto hak penciptaan lagu bukannya terletak pada label sebaliknya komposer dan penulis lirik,” kongsinya ketika ditemui dalam program Bual Bicara, Menangani Krisis Membina Reputasi di UKM sebentar tadi.

Sementara itu, Kaka juga tidak serik untuk bernaung di bawah mana-mana label selepas ini, namun akan lebih berhati-hati tentang kandungan kontrak

“Banyak yang saya pelajari daripada apa yang berlaku. Jika dahulu saya hanya fikir muzik sahaja, tidak ambil tahu tentang bab pengurusan dan kontrak, sekarang baru sedar perkara-perkara tersebut sangat penting” ujar Kaka. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok