KLIFAA 2024 gelanggang pertukaran budaya industri kreatif global

LEBIH 50 negara bakal menyertai Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIFAA) selama lima hari bermula pada 7 Ogos depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Acara yang bakal direalisasikan buat julung kali itu sarat pengisian program komprehensif termasuk jaringan perniagaan dengan kemuncaknya malam anugerah, selain menjadi platform pertukaran budaya dalam kalangan pembikin filem dan industri kreatif.

Pengerusi KLIFAA, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, sudah tiba masanya Malaysia tampil sebagai tuan rumah bagi acara berprestij dalam industri hiburan yang mengiktiraf karya filem terbaik di peringkat antarabangsa.

“Visi dan matlamat penganjuran KLIFAA untuk edisi pertama ini diharapkan dapat menjadi bukti kehebatan seni pembikinan filem terbaik dengan bahasa penceritaan sejagat.

“KLIFAA juga akan menyerlahkan komitmen penganjuran festival dalam mempromosikan kepelbagaian, kecemerlangan artistik serta keterangkuman industri produksi filem dan televisyen global.

“Jadi, saya berharap kerajaan menerusi kementerian berkaitan dapat memberikan kerjasama dan menyokong usaha murni yang dilakukan bagi memartabatkan lagi bidang perfileman tanah air ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada sidang media penganjuran KLIFAA, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran hadir KLIFAA ialah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki.

Tengku Azlan berkata, KLIFAA 2024 juga bakal menjadi bukti kehebatan seni pembikinan filem dan bahasa pence­ritaan sejagat.

“Acara ini menyerlahkan lagi komitmen festival untuk mempromosi kepelbagaian, kecemerlangan artistik dan keterangkuman dalam industri produksi filem dan televisyen global,” katanya.

Pada masa sama, KLIFAA diharap dapat diteruskan untuk tahun akan datang selaku antara majlis anugerah yang mampu diiktiraf sebagai platform terbaik bagi perkongsian idea serta budaya.

“Malah antara program yang dirancang pada festival ini nanti termasuk tayangan filem, perbincangan panel, kelas pakar, jaringan perniagaan dengan kemuncaknya malam penganugerahan,” ujar beliau.

Difahamkan, 21 negara sudah menyatakan persetujuan menyertai KLIFAA apabila turut mendapat sokongan positif daripada pihak kedutaan negara masing-masing untuk menghantar penyertaan.

Sehubungan itu, suntikan modal yang dianggarkan sekitar RM6 juta hingga RM10 juta diperlukan bagi merealisasikan acara berkenaan.

“Tema KLIFAA 2024 adalah Inspi­ring Brilliance, Igniting Passion yang mengetengahkan semangat festival dan hasrat menyatukan budaya, mencetus idea dan mengilhamkan kreativiti pada skala global.

“Acara ini memberi tumpuan kepada meraikan bakat baharu, memupuk kreativiti dan mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam filem cereka, drama televisyen, dokumentari, filem pendek dan animasi,” katanya.

Penyertaan KLIFAA terbuka kepada pembuat filem, artis, penerbit, pengamal industri, wartawan, jurugambar, kru radio dan kru televisyen.

Sehubungan itu, pembikin filem dan artis berbakat di seluruh dunia yang berminat boleh menghantar karya mereka untuk penilaian mengikut kategori dipertandingkan dari 1 Mac hingga 31 Mei depan di laman sesawang KLIFAA. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok