Kecam saya tapi jangan sentuh anak-anak saya – DJ Lin

PENGURUS Besar Suria FM, Roslinda Abd. Majid atau DJ Lin menyifatkan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya berhubung isu penamatan kontrak Tyzo baru-baru ini memberi kesan besar terhadap kesihatan mentalnya.

Menurutnya, perkara paling teruk dihadapi ketika ini apabila netizen turut melemparkan kecaman terhadap dua anaknya, Nureen Aresya dan Nazren Asyran.

Ini kecaman terhebat pernah saya terima sepanjang 25 tahun bergelar penyampai radio. Saya terima kecaman sejak Jumaat lalu sehingga viral.

“Tahun 2024 ini dibuka dengan kontroversi sebegini namun saya terima serta reda dengan ujian yang diberikan Tuhan ketika ini.

Semua netizen yang mengecam saya dengan pelbagai gelaran buruk, fitnah dan menghentam saya secukup-cukupnya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, dua anaknya tidak sepatutnya menjadi mangsa kecaman netizen berhubung isu ini.

Mereka tidak bersalah. Kecamlah saya tetapi jangan sentuh anak-anak saya. Anda menghukum saya tanpa sebarang alasan yang kukuh.

“Anda menghukum mereka tanpa alasa yang kukuh, anda menggelar ibu mereka macam-macam. Mereka juga manusia yang ada emosi ada hati.

“Cuma kalau boleh saya nasihatkan, menghukum biar lah lepas kita mengetahui kenyataan yang sebenar. Itu baru adil,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, mengenai kesan kecaman terhadap dirinya, DJ Lin yakin dan pervaya ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.

Bagi saya apa yang berlaku ada hikmahnya. Allah takkan jadikan sesuatu tanpa hikmah.

“Saya tak tahu apa hikmah itu tapi saya percaya satu ketika netizen yang menghentam, yang mencaci maki saya itu akan sedar bahawa kenyataan adalah kenyataan. Itu adalah pasti,” ujarnya.

Terdahulu, Suria FM mengumumkan khidmat Tyzo sebagai penyampai bagi segmen Suria Petang, berakhir atas alasan sebagai strategi untuk tahun 2024.

Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain menerusi hantarannya dalam Facebook meluahkan kekesalan hati apabila mengakui tidak rela disingkirkan daripada stesen radio berkenaan.

Dia itu turut menyifatkan penyingkirannya sebagai harga yang terpaksa dibayar, impak daripada kemenangan meraih anugerah Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular tahun lalu.

Susulan itu, ramai pendengar setia menzahirkan rasa tidak puas hati sehingga ada yang mahu memboikot Suria FM. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok