Jangan terburu-buru jawab kontroversi – Neelofa, Awal Ashaari

STATUS sebagai selebriti popular dan pengalaman terpalit dengan pelbagai kontroversi sepanjang karier seni masing-masing menjadikan pengacara popular, Neelofa dan Awal Ashaari kini bijak berhadapan dengan situasi panas.

Kedua-dua mereka sependapat bahawa artis tidak perlu terburu-buru untuk memberikan respons sekiranya berhadapan dengan sebarang krisis atau kontroversi.

Menurut Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 35, artis harus mendapatkan pandangan orang lain yang lebih pakar sebelum memberikan maklum balas terhadap sesuatu isu.

Sebagai selebriti, kita tidak lari daripada kontroversi, namun kita harus tahu jalan terbaik untuk mengendalikan krisis. Sebelum menjawab atau memberi respons, saya selalunya akan mendapatkan pandangan orang lain.

“Saya kena bertindak mencari jalan terbaik dan tidak boleh memberi maklum balas secepat mungkin. Jika saya pantas menjawab, mungkin akan dipengaruhi emosi sendiri, jadi pandangan pihak lain sangat diperlukan,” kata Neelofa.

 Awal yang memberi pandangan sama turut mengakui pada zaman media sosial, selebriti perlu lebih berhati-hati kerana tersilap langkah akan menjerat diri sendiri.

Sebagai selebriti, kita menjadi perhatian ramai. Artis perlu memberikan contoh baik dan artis juga mempunyai imej yang harus dijaga. Jangan terburu-buru untuk menyelesaikan krisis kerana jika silap langkah, pastinya akan memburukkan reputasi.

“Bertanya kepada orang sekeliling atau mereka yang lebih pakar. Seperti saya sendiri, saya akan sering merujuk kepada isteri, Scha Alyahya. Selain itu, saya juga merujuk kepada rakan-rakan media yang lebih arif,” ujar Awal.

Sabar

Tambah Awal, pengalaman bergelar selebriti selama 20 tahun banyak mematangkan dirinya serta mengajarnya untuk lebih bersabar andai terlibat dengan sebarang isu panas.

“Saya akui dulu saya seorang yang cepat melenting. Pantang dicuit netizen dalam ruangan komen di Instagram, pasti saya akan membalasnya dengan penuh rasa marah.

Isu yang kecil menjadi bertambah besar gara-gara saya membalas komen. Sekarang saya lebih bijak mengawal emosi. Jika rasa tidak boleh bersabar, saya akan tidak akan melihat telefon dan media sosial.

“Apa yang saya belajar adalah masyarakat kita suka apabila seseorang artis mengaku kesalahan dan memohon maaf. Jadi, jika buat salah mengaku sahaja, jangan cuba mengelak,” tutur Awal.

Neelofa dan Awal ditemui pada program Bual Bicara: Menangani Krisis, Membina Reputasi anjuran Pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Bangi, Selangor baru-baru ini.

Menjadi ahli panel untuk program tersebut, Neelofa dan Awal turut ditemani oleh Raqim Ahmad selaku Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro.

Majlis turut dihadiri oleh Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub selaku Dekan FSSK dan Dr. Ammar Redza Ahmad Rizal selaku pensyarah kursus Komunikasi Krisis merangkap Penyelaras Strategi FSSK.

Memberikan komen dari sudut organisasi, Raqim dan pasukan mempunyai cara tersendiri sekiranya berhadapan dengan krisis.

Ada krisis yang memang dalam jangkaan, ada juga isu yang timbul di luar jangkaan. Sekiranya situasi yang memang kita jangka itu berlaku, sebagai organisasi, masalah perlu diselesaikan dengan pantas dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Namun, jika situasi luar kawalan terjadi, masa yang tepat perlu diambil menjawab atau menyelesaikan sesuatu krisis.  Maklum balas yang diberikan tidak boleh terlalu cepat dan tidak boleh juga terlalu lambat,” kata Raqim. 


Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok