Jangan jadi ‘tin kosong’, jumpa nanti di mahkamah – Puteri Sarah

PELAKON Puteri Sarah Liyana memberi bayangan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seseorang selepas bertemu dengan peguam, Azmi Mohd. Rais, hari ini.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Sarah atau nama lengkapnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin nampaknya nekad mahu mendakwa individu terbabit atas kesalahan menyebarkan fitnah dan menuduh tanpa bukti.

Memfitnah, menyebarkan fitnah dan menuduh tanpa bukti. Lain kali nak menghina dan memfitnah, pastikan beserta bukti, bukan jadi ‘tin kosong’.

“Jumpa nanti di mahkamah,” tulisnya.

Dalam hantaran tersebut, Sarah turut berkongsi fotonya semasa membuat pertemuan dan perbincangan dengan Azmi di pejabatnya, hari ini.

Usaha HibGlam untuk mendapatkan penjelasan terperinci berhubung tuntutan yang dibuat Sarah bagaimanapun tidak berjaya apabila pelakon itu dan juga peguamnya tidak menjawab panggilan telefon.

Bagaimanapun, berdasarkan komen yang ditinggalkan pengikutnya dalam Instagram, Sarah, 39, dikatakan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang wanita yang juga pegawai pemasaran kerana menuduhnya menipu dalam urusan perniagaan membabitkan mereka berdua.

Malah, menerusi temu bual secara eksklusif bersama Melodi semalam, wanita berkenaan mendakwa dirinya telah ditipu seorang pelakon terkenal.

Wanita tersebut mendakwa, pelakon itu telah memutar belit cerita dan mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dalam laman sosial.

Malah, dia juga memberitahu sudah berusaha untuk berjumpa dengan pelakon terbabit bagi tujuan berbincang dan menyelesaikan masalah antara mereka, namun gagal.

Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak, rata-rata netizen mendakwa aktres yang dimaksudkan ialah Puteri Sarah.

HibGlam pada 4 Januari lalu melaporkan, ibu kepada dua orang cahaya mata itu mendedahkan dirinya diperdaya seorang pegawai pemasaran yang mengambil wang berjumlah RM26,000 tanpa persetujuannya sebagai caj 45 peratus daripada keuntungan perniagaan.

Menurut Sarah, dia mengupah individu tersebut sejak Oktober tahun lalu bagi memasarkan produknya namun kerja yang dilakukan tidak mencapai standard ditetapkan.

“Saya tak berapa nampak apa yang dia buat sebenarnya. Kemudian dia caj saya sebanyak 45 peratus daripada keuntungan untuk pemasaran.

“Dia juga ada pegang wang tunai dalam satu acara lain sebelum terus ambil RM26,000 tanpa masuk ke dalam akaun terlebih dahulu.

“Kerja satu apa pun tak buat, tiba-tiba dia kata duit tersebut adalah duit untuk gajinya,” katanya menerusi video siaran langsung yang dimuat naik semula dalam TikTok. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok