Jangan heret keluarga, campur hal peribadi orang – Syada Amzah

“SAYA dah cuba menahan untuk tak menyentuh perkara ini, tetapi saya geram. Dalam hal ini, tiada siapa yang 100 peratus betul atau salah. Mana-mana hubungan pun akan ada perbalahan, akan ada dua cerita di dua belah pihak.

Demikian kenyataan penyanyi Syada Amzah mengenai kemelut membabitkan dua pempengaruh media sosial, Kasih Iris Leona dan Cupcake Aisyah apabila meminta netizen jangan mengheret keluarga kedua-dua sahabat baik itu dalam konflik terbabit.

Kata pemilik nama sebenar Nursyuhada Amir Amzah, 25, dia bersuara selepas tidak tahan melihat campur tangan pihak luar yang sanggup mengaitkan ibu bapa serta orang terdekat mereka, sekali gus cuba memanaskan keadaan.

Memandangkan benda ini pasal orang lain, tolonglah rasional. Salah faham begini banyak terjadi ketika zaman persekolahan, sekarang semua dah dewasa dan masing-masing ada kerja kena buat.

“Jadi fokuslah pada itu. Kenapa nak campur hal orang? Kalau pasal A dan B, kenapa sampai ganggu ibu bapa mereka? Fikirlah, kalau jadi pada kamu dan keluarga sendiri? Sangat-sangat tak ‘cool’, biadap,” katanya.

Kata adik kepada penyanyi Shila Amzah itu lagi, warga maya juga tidak wajar mencetuskan spekulasi dalam media sosial sehingga boleh melarat menjadi fitnah.

“Jika apa yang dispekulasikan ini tidak betul, fitnahdan awak adalah individu yang jadi penyebab fitnah ini tersebar. Dosa makin bertambah dan jika orang yang terkesan itu meninggal dunia macam mana awak nak minta maaf?” ujarnya.

Menurutnya, perkongsian tersebut mempunyai kaitan dengan tindakannya sebelum ini yang memuat naik kempen kesedaran mental menerusi platform media sosial.

“Sebab itulah saya muat naik pasal kesedaran kesihatan mental sebelum ini. Saya punya ‘mode survival’ memang lain macam sebab dah tak kisah apa orang cakap lagi-lagi membabitkan hal tidak betul.

Tapi kalau awak semua nak juga buat naratif itu, silakan. Panggil lah saya kalis kecaman atau apa, saya cuma nak buat kerja dan cari rezeki halal, jaga ibu selagi masih hidup.

“Tetapi janganlah kacau dan ganggu mental mereka hanya disebabkan kehidupan awak tak menarik. Kasihan mereka, biarlah mereka uruskan hal tersebut sebab itu jugalah cara kita membesar kan? Dengan melakukan kesalahan dan belajar daripadanya,” ulasnya.

Sejak beberapa hari lalu, nama Cupcake Aisyah yang juga pelakon baharu ‘panas’ dalam media sosial apabila didakwa ‘menyondol’ bekas kekasih anak kepada aktor Azhar Sulaiman.

Isu tersebut diperkatakan selepas Leona memuat naik video dalam TikTok seakan-akan menggambarkan hatinya retak seribu setelah mendapat tahu kawan baik sendiri bercinta dengan bekas teman lelakinya selepas hubungan mereka berakhir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok