Jangan budayakan tamat kontrak mengejut – DJ Pool

BEKAS penyampai radio KLFM, Datuk Syaiful Bahrim atau DJ Pool mengingatkan stesen radio agar tidak mengamalkan budaya memberhentikan penyampai secara mengejut biarpun hanya berstatus kontrak.

Kata penerima trofi Penyampai Radio Versatil di Anugerah Seri Angkasa 2005 itu, pengurusan tertinggi saluran juga wajar mempunyai empati dengan tidak memperlakukan kakitangan yang turut membantu perkembangan stesen sedemikian rupa.

“Isu ditamatkan kontrak mahupun kontrak tidak disambung biasa berlaku di mana-mana stesen radio, tapi saya hendak ingatkan kepada setiap pengurusan termasuk dibawah kerajaan supaya dapat santuni setiap penyampai walaupun hanya berstatus kontrak.

Pengalaman saya sebagai penyampai, sewaktu berkhidmat dahulu jiwa kami memang sepenuhnya untuk stesen, bahkan komitmen deejay berstatus kontrak ini kadang-kadang lebih tinggi.

“Janganlah berhentikan mereka secara tiba-tiba atau bagi notis terlampau singkat sebab mereka pun ada keluarga, sekali gus pemberhentian mengejut buatkan mereka rasa dizalimi,” katanya.

Sebagai individu yang pernah berkhidmat hampir dua dekad dalam dunia penyiaran termasuk di stesen televisyen, banyak perkara membabitkan kakitangan kontrak berlaku di depan matanya.

Bagi bapa kepada empat cahaya mata itu lagi, pokok pangkal adalah kaedah digunakan pengurusan dalam memberi tempoh serta makluman berkaitan penamatan perjanjian yang dimeterai.

“Setiap penyampai ada sumbangan, bahkan mungkin sudah banyak membantu menaikkan rating, jadi takkan tiada belas atau hormat kepada individu yang telah bersama stesen tersebut.

“Saya bukan menyebelahi mana-mana pihak, cuma bercakap daripada perkara yang saya lihat di persekitaran, kenalah cakna serta lebih bertimbang rasa,” ujarnya.

DJ Pool yang kini aktif dalam kerja kemasyarakatan turut mengakui semua rakan seperjuangan dalam arena penyiaran memahami risiko sebagai kakitangan kontrak, tetapi bukan bermakna mereka boleh diberhentikan secara mengejut.

Sementara itu, dia yang pernah terbabit dalam program hiburan Galaksi kini ligat mengelola program Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia yang bertujuan mengutip dana bagi membantu insan memerlukan.

Sudah menggerakkan aktiviti bersama beberapa kumpulan buskers di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak setahun lalu, mereka bakal bergerak pula ke selatan bermula dengan Batu Pahat, Johor dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini kami menghiburkan pengunjung di lokasi tumpuan ramai di kawasan Meru bahkan sumbangan yang dikumpulkan telah disalurkan kepada golongan sasaran.

“Antaranya adalah membantu melancarkan pembedahan seorang pesakit jantung, selain bantuan makanan untuk beberapa keluarga kurang berkemampuan.

“Bagi program ke selatan, buat masa ini kami sasarkan mahu meringankan beban sekurang-kurangnnya 20 keluarga dengan menyalurkan hasil persembahan serta sumbangan dermawan,” ujarnya.

DJ Pool bergelar penyampai di KLFM selama 13 tahun bermula dari 2000 hingga 2013 sebelum berhijrah ke program hiburan Galaksi TV9 selama tiga tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok