Jahat tak sesuai, aksi panas tak mungkin – Zara Zya

LEBIH sedekad beraksi di pentas lakonan bukan tiket untuk wanita bernama Zara Zya bebas melakukan apa sahaja diingininya. Menjaga batas, maruah diri dan keselesaan individu sekeliling, itu prinsip yang dipegangnya sehingga hari ini.

Mungkin, pendekatan itulah yang membuatkan namanya terus relevan dan masih diberi kepercayaan menjadi bintang utama drama-drama popular tanah air, sekali gus menjadikan namanya tidak asing lagi.

Berilah apa sahaja karakter, naskhah lakonannya pasti meledak sehingga meninggalkan impak emosi terhadap penonton untuk jangka masa lama.

Akui Zara, sehingga kini masih ada yang menyapanya dengan panggilan Pia, iaitu watak lakonan dalam drama Pia dan Aisya (Risik Pada Hati). Semua itu secara tidak langsung membuktikan lakonannya berada dalam kelas tersendiri.

Jarang muncul dalam televisyen, itu soalan yang pertama yang diutarakan pada pemilik nama penuh Zainurul Razia Mohd Zainuddin saat bertemu dalam sesi fotografi di Studio Media Mulia baru-baru ini.

Dalam berbasa-basi dan spontan jawabnya, banyak lagi naskhah lakonan yang belum ditayangkan dan sedang menunggu tarikh siaran.

Ujar Zara, jarang muncul dalam drama bukanlah kerana ‘jual mahal’ ataupun tidak laku disebabkan kemunculan ramai pelakon baharu.

“Saya bukan pelakon yang cerewet, memilih drama, jalan cerita dan hero gandingan. Asalkan jadual tidak bertindih dan bayaran memuaskan, saya okey.

“Sejujurnya, saya seorang yang bertuah sebab banyak drama lakonan saya meletup dan mendapat rating tinggi juga,” katanya kepada Pose.

Zara juga mengakui selesa dengan semua karakter yang dijayakan walaupun ‘tidak dibenarkan’ untuk memegang watak antagonis.

Bukan menolak, sebaliknya peminat dan pihak produksi berpendapat dirinya tidak sesuai menjadi ‘jahat’.

“Saya kalau boleh nak mencabar diri tetapi apakah daya, ada yang cakap sekarang belum sesuai jadi jahat. Biarlah, saya okey sahaja.

“Kalau minta saya lakukan adegan panas pula, itu mungkin tidak akan berlaku.

“Babak sebegitu bukan diri saya malah tidak sesuai pun dengan imej bertudung ketika ini.

“Biarlah orang lain nak buat tetapi bukan saya,” ujar dramatis berusia 38 tahun itu.

Nyanyian

Nyanyian, satu perkara yang sedikit canggung, namun itu yang menjadi pembaharuan Zara ketika ini.

Bukan sengaja mencari publisiti, katanya langkah itu bersandarkan minat dan persahabatan.

Itu yang berulang kali ditegaskan pelakon Risik Pada Hati itu mengenai keputusannya melancarkan single duet bersama, usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa baru-baru ini.

“Kami bukan penyanyi profesional malah tahu kemampuan diri sendiri.

“Meskipun Alha seorang ahli perniagaan, kami tidak melakukan sebarang gimik murahan bodoh seperti orang lain semata-mata untuk mempromosikan single itu.

“Kalau boleh mahu lagu ini diingati dengan cara yang elok. Video muziknya juga dirakam dengan baik, tiada jalan cerita mengarut,” tuturnya.

Selain minat, Zara berharap gandingannya dengan Alha dapat membangkitkan kembali zaman kegemilangan penyanyi duet yang pernah popular suatu ketika dahulu seperti Datuk Hail Amir dan Uji Rashid.

Disoal sama ada wujud kerisauan sekiranya diminta menyanyi secara ‘live’, Zara tidak menolak debar yang bersarang di dada.

“Risau juga sebenarnya tetapi insya-Allah akan pergi ke kelas nyanyian untuk mantapkan vokal.

“Kalau boleh tak mahu berlaku kejadian sebegitu tambahan pula saya juga ada darah gemuruh apabila naik atas pentas,” katanya.

Cinta vs privasi

Sempat mengusik tentang kehidupan peribadi, wanita bersatus solo itu enggan mengulas lanjut memandangkan sudah terlalu kerap isu sebegitu diperkatakan sejak dua tiga tahun lalu.

Memahami khalayak mahu melihatnya bahagia, pinta Zara, jangan risau. Dia juga tidak akan berahsia sekiranya detik bahagia tiba satu hari nanti.

“Kalau nak tanya saya bercinta dengan siapa, sedang kenal hati budi atau tidak, memang ‘no comment’.

“Apa pun saya bahagia dan okey dengan kehidupan sekarang, tiada istilah rasa terlalu sunyi atau tergesa-gesa mencari pasangan hidup,” kongsinya.

Katanya, keputusan untuk tidak terlalu banyak berbicara soal jodoh kerana enggan orang ramai membuat spekulasi sendiri seperti yang berlaku sebelum ini.

“Saya bukan mahu menjadi perahsia.Saya hargai kerisauan orang tentang jodoh saya tetapi adakalanya bukan semua benda harus dikongsikan.

“Tidaklah rimas cuma kerap sangat saya dikaitkan dengan selebriti lelaki. Muat naik gambar bersama pun dituduh bercinta sedangkan hanya kawan.

“Lucu juga kalau difikirkan semula, kalau boleh berilah saya ruang. Banyak lagi cerita menarik yang boleh diangkat selain kisah cinta,” katanya mengakhiri perbualan.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok