Jadi buruan, taring Siti Saleha masih berbisa

MENGAKUI rentak karier perlahan berbanding dahulu yang mana wajahnya sahaja menghiasi segala jenis naskhah baik drama mahupun filem, Siti Saleha Mohd. Baharum kini dalam fasa ingin memilih naskhah demi mencari kepuasan sebagai pelakon.

Menurutnya yang mesra membahasakan diri Sally, bukan setahun dua dia menceburi bidang ini dan sudah sampai masa untuknya memilih apa yang terbaik buat diri dan kembara seninya.

“Kalau dulu ya, memang muka saya sahaja keluar televisyen, sekarang sudah pastinya saya kena memilih. Kena tahu jalan cerita naskhah itu macam mana, saya tidak boleh sekadar sauk semua benda hanya sebab nak relevan.

Lagipun saya sudah lama berlakon, kadangkala naskhah dan watak yang ditawarkan pernah saya buat sebelum ini boleh dikatakan kebanyakan jalan ceritanya agak klise.

“Sebagai pelakon yang sudah bawa watak macam-macam, saya mahukan kelainan, tidak mahu graf lakonan saya mendatar dan tersekat pada sesuatu jalan cerita mahupun mana-mana karakter sama sahaja,” tutur wanita berusia 35 itu.

Begitupun, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Asian Academy Creative Awards (AACA 2023) itu bersyukur masih menjadi buruan ramai sutradara untuk mewarnai naskhah mereka meskipun industri seni dihadiri lambakan pendatang baharu.

“Dalam pada memilih pun, saya bersyukur masih diberi banyak tawaran berlakon dan mengacara juga, ada sahaja naskhah dan tawaran pengacaraan yang datang.

“Pada saat ramainya pendatang baharu, alhamdulillah bakat saya masih dipandang sutradara dan boleh dikatakan nama saya kekal relevan sehingga kini, harapnya sampai bila-bila.

“Saya memang tidak merancang perjalanan karier saya, hanya mengikut aliran rezeki pemberian Tuhan tapi jadual saya memang setiap tahun padat dengan penggambaran dan kerja seni lain, rezeki Allah bagi,” katanya yang popular menerusi drama 7 Hari Mencintaiku.

Kini hangat menerusi drama terbaharu berjudul SeOfis dalam platform penstriman Tonton, aktres berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu mengakui teruja bergandingan dengan regu lakon sekepala, Nadiya Nissa dan Nadia Aqilah.

Tidak hanya itu, faktor lain mengapa Siti Saleha mengangguk kepala saat disua naskhah berkenaan adalah kerana tema karya tersebut bernaratifkan pemerkasaan wanita.

Masa saya dapat tawaran SeOfis, saya tidak tahu dengan siapa saya bakal bergandingan dan apabila produksi sahkan akan ada pelakon lain seperti Nadiya Nissa, terus saya bersemangat dan lepas itu ada pula Nadia Aqilah, lagilah seronok.

“Selain itu, saya tertarik dengan garapan naskhah tersebut yang mengangkat tema memperkasakan wanita yang bekerja di pejabat. Apa dipertontonkan adalah perkara yang berlaku di pejabat setiap hari, jadi lebih dekat dengan kehidupan penonton.

“Lagipun saya menggalas watak arkitek dalam naskhah itu, saya tak pernah memainkan peranan sebegitu, jadi saya setuju untuk ambil,” jelasnya teruja.

MEMEGANG watak Sam dalam drama SeOfis, Siti Saleha teruja bergandingan dengan dua pelakon berkredibel, Nadiya Nissa dan Nadia Aqilah

Mengulas lanjut tentang watak Sam, Siti Saleha berkata, peranan tersebut banyak menyampaikan mesej berguna buat golongan wanita seperti langkah yang boleh diambil ketika berhadapan gangguan seksual.

“Watak Sam ini kompleks, selain telatahnya bersama rakan pejabat, karakter tersebut juga cuba menyampaikan mesej berguna.

Memang berbeza dengan watak pernah saya bawa sebelum ini, saya suka sebab banyak menonjolkan kehebatan seorang wanita,

“Bayangkan naskhah ini tiada hero pun, hanya kami bertiga. Alur cerita memang terbaik,” katanya seraya menutup bicara.

Selain Siti Saleha, Nadiya Nissa dan Nadia Aqilah, drama SeOfis arahan Faizul Jais itu turut menampilkan pelakon hebat lain seperti seperti Fahrin Ahmad, Hafizul Kamal, Ikhwan Lein, Munir Kharuddin dan Akmal Azwar.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok