SAYA tidak boleh bayangkan kalau Awin tiada. Hidup saya akan hilang arah.”
Itu luahan selebriti serba boleh Izzue Islam yang menitiskan air mata apabila membicarakan perihal usaha keras isterinya, Awin yang menjadi tulang belakang kejayaan karier seninya selama ini.
Ujar pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan itu dalam nada sebak, dia tidak mungkin dikenali ramai tanpa bantuan suri hati merangkap pengurusnya itu.
Saya tidak boleh bayangkan kalau dia tiada. Kami pernah berborak dan saya kata kepadanya bolehkah kita mati bersama-sama nanti.
“Tanpa isteri, kalian mungkin tidak kenal Izzue Islam seperti hari ini dan saya juga tidak pernah bayangkan memiliki kehidupan begini sekarang,” kata Izzue menerusi sebuah podcast bersama pelakon Datuk Rosyam Nor.
Ditanya adakah bersedia jika suatu hari kehilangan isteri tercinta, aktor berusia 34 tahun itu mengakui bakal hilang arah dan mungkin fokusnya dalam dunia hiburan akan terkubur.
“Saya pernah terlibat dalam satu penggambaran dan dia tidak ikut sekali disebabkan demam. Ketika itu saya macam hilang arah.
“Sebab itu sampai sekarang saya akan bawa dia ke mana-mana sahaja kami pergi. Bukan tidak boleh berenggang tetapi dia individu penting buat saya.
“Saya mahu dia sentiasa ada di depan mata. Selagi saya hidup saya mahu dia ada di depan saya,” ujarnya menahan sebak.
Air mata pelakon filem Juang itu mengalir deras sebaik perkara berkaitan insan kesayangan dibangkitkan Rosyam.
Sebelum ini, anak jati Kelantan itu juga pernah mencipta lagu buat Awin sebagai luahan perasaan sayang terhadap wanita yang melengkapi segala kekurangan dalam dirinya.
Izzue dan Awin mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 namun belum dikurniakan rezeki untuk memiliki cahaya mata. – HIBGLAM