“SAYA tidak sakit.”
Diserang bertubi-tubi oleh netizen, pelakon Fatiya Latiff mengakui penat dan bosan dengan dakwaan orang ramai yang menganggap dirinya tidak sihat susulan kerap muncul dengan kenyataan berbaur provokasi serta berkelakuan aneh dalam media sosial.
Fatiya atau nama penuhnya Nur Fathia Latiff, 37, berkata, walaupun dihujani dengan kecaman, dia tidak sesekali terkesan malah terus mempertahankan semua tindakan yang dilakukan sebelum ini adalah pilihannya sendiri.
“Kepada peminat, keluarga dan ‘homophobiens’ (golongan yang membenci homoseksual), saya penat dilabel sebagai orang sakit sedangkan perkara itu tidak berlaku.
“Saya boleh mengambil tindakan dengan segala tuduhan tersebut tetapi tidak akan melakukannya sebab ada banyak lagi perkara lebih baik perlu dilunaskan. Perkara itu juga tidak meninggalkan kesan terhadap diri saya.
“Keluarga saya perlu menanggung malu dengan semua yang terjadi tetapi saya tetap akan melakukan apa sahaja kerana ini kehidupan dan pilihan saya. Buruk atau jahat, tiada kena mengena dengan anda semua!” katanya dalam InstaStory.
Dalam pada itu, dia turut berpendapat terlalu banyak kebencian dan perkara negatif ditabur tentangnya oleh rakyat di negara kelahirannya.
“Saya tidak bertanggungjawab untuk memberi penjelasan, mengemukakan bukti atau memberitahu sesiapa tentang setiap perkara yang ingin dimuat naik dalam media sosial.
“Terlalu ramai individu berfikiran negatif yang melemparkan fitnah terhadap diri saya.
“Berhenti menyalahkan orang dan lihat pada diri sendiri dan keluarga anda dahulu.
“Kalau boleh mahu menulis lebih banyak tetapi saya tak mahu buang masa. Cukuplah semua,” katanya lagi.
Dia yang popular menerusi drama Ariana Rose itu juga turut berpendapat segelintir masyarakat Melayu masih mengamalkan sikap cemburu dan berfikiran buruk tentang orang lain.
“Orang melayu ini suka dengki, fikir bukan-bukan dan rasa diri sentiasa betul. Itu yang ayah saya selalu cakap.
“Perkara itu sangat menyedihkan dan memalukan tambahan pula saya mempunyai pengikut dari seluruh dunia termasuk Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan Kanada. Semoga Tuhan melindungi kita semua,” ujarnya.
Sejak dua minggu lalu, nama Fatiya meledak dalam media sosial apabila kerap mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi terhadap beberapa selebriti lain seperti Zahirah MacWilson, Aiman Hakim Ridza dan Zarina Anjoulie.
Dia juga sebelum ini menegaskan tidak mengalami depresi seperti yang didakwa ramai malah pernah melakukan pemeriksaan kesihatan mental dengan pakar psikiatri. – HIBGLAM