BERGELAR selebriti bukan suatu perkara mudah lebih-lebih lagi idola K-pop walaupun ramai menyimpan impian untuk menjadi terkenal.
Selain terpaksa menjalani tempoh latihan yang sangat lama, ada banyak rintangan perlu dihadapi sehingga ada antaranya putus asa dan nekad berundur.
Perkara tersebut hanya diaplikasikan di Korea Selatan kerana industri seni negara itu sangat menitikberatkan soal bakat bagi melahirkan idola yang terkenal di serata dunia.
Menariknya, ramai tidak tahu ada beberapa idola popular yang hampir ditendang keluar dari agensi atas sebab-sebab tertentu.
P.O Block B
Semasa bergelar pelatih, penyanyi P.O Block B pernah melalui pengalaman pahit.
Seperti ramai sedia maklum, P.O dan anggota kumpulan Winner, Mino menjalani latihan di bawah agensi sama iaitu Stardom Entertainment.
Ketika itu, pihak agensi berhasrat melepaskan P.O atau nama sebenarnya, Pyo Ji-hoon dan mengekalkan Mino disebabkan isu prestasi.
Namun, Mino membantah keputusan tersebut dan akhirnya P.O berjaya kembali selepas meningkatkan kemahirannya.
Meskipun mereka tidak memulakan debut dalam kumpulan yang sama, P.O dan Mino tetap bersahabat baik sehingga kini.
Jimin BTS
SIAPA sangka, Jimin pernah hampir dibuang daripada kumpulan BTS.
Dedah Jimin, ada beberapa individu di Big Hit Entertainment menentang kemunculan sulungnya dengan BTS.
Hal tersebut tercetus apabila gaya tarian Jimin atau nama lengkap Park Ji-min dikatakan berbeza daripada idola K-pop lain.
Mereka turut berpendapat Jimin memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri.
Tuah bagaimanapun berpihak kepadanya apabila pihak Big Hit Entertainment mengekalkan namanya sebagai anggota kumpulan BTS sehingga terkenal seantero dunia.
Lay EXO
Ketika menjadi pelatih di bawah SM Entertainment, penyanyi Lay dikatakan hampir dibuang kerana bergaduh dengan pelatih lain.
Akibatnya, pihak agensi menghantarnya kembali ke China tetapi penyanyi kumpulan EXO itu tetap diberi peluang kedua untuk bekerja lebih keras.
Disebabkan itu, pemilik nama lengkap Zhang Yixing itu berlatih siang dan malam sehingga akhirnya berjaya memulakan debut bersama EXO.
Seolhyun AOA
Semasa dalam tempoh latihan, penyanyi Seolhyun bertindak berani tidak menghadiri kelas vokal dan tarian.
Ini kerana dia pergi ke panggung wayang untuk menonton filem Kungfu Panda 2 bersama rakan pelatih lain.
Disebabkan itu, ahli kumpulan AOA menerima hukuman daripada pihak agensi iaitu FNC.
Malah, kesemua pelatih yang melanggar peraturan termasuk penyanyi berusia 31 tahun itu dikeluarkan daripada agensi.
Walau bagaimanapun, agensi akhirnya memanggil semula Seolhyun dan dia memulakan debut bersama AOA.
Heechul Super Junior
Disebabkan kedegilannya, Heechul hampir disingkirkan SM Entertainment ketika bergelar pelatih.
Enggan mematuhi arahan jurulatih, anggota Super Junior itu didesak menulis surat permohonan maaf, namun dia tidak melakukannya.
Dia akhirnya digantung dan diarahkan pulang ke rumah kerana menunjukkan sikap tidak baik.
Tidak lama kemudian, Ketua Pegawai Eksekutif iaitu Lee Soo-man secara peribadi meminta dia kembali dan memulakan karier bersama Super Junior. – HIBGLAM