BENGANG popularitinya sering disalah guna penganjur untuk kepentingan sendiri, anggota kumpulan Treasure, Hyun-suk tampil menempelak tindakan pihak terbabit yang disifatkan kebulur promosi percuma.
Hyun-suk menerusi video siaran langsung dalam Instagram menyelar tindakan segelintir penganjur meminta artis menghasilkan video promosi sesuatu produk sedangkan mereka hanya diundang untuk menyanyi sebagai satu perkara yang tidak wajar dilakukan.
Bagi jejaka berusia 24 tahun itu, tindakan sedemikian boleh memberi impak buruk selain mengganggu fokus penyanyi sebelum dan selepas mengadakan persembahan.
Apabila membuat persembahan saya mahu fokus dan bukan buat kerja lain. Tak patut penganjur suruh artis promosi produk sedangkan kami datang hanya untuk membuat persembahan.
“Saya tak mahu melakukan perkara-perkara yang tiada kaitan sebelum menghiburkan penonton. Seorang penyanyi harus bersedia sebelum naik ke atas pentas,” katanya menerusi siaran langsung tersebut.
Bagaimanapun penyanyi tinggi lampai itu menegaskan dia berkata demikian bukanlah kerana dirinya sukar memberi kerjasama sebaliknya merasakan penganjur sepatutnya memaklumkan lebih awal.
“Jika nak buat video kandungan, fokus pada itu sahaja, cakap biar jelas,” tegasnya.