Hariz Hamdan fobia darah sejak kecil

PERNAH mengalami kemalangan ketika berusia empat tahun, pelakon Hariz Hamdan masih fobia dengan darah sehingga ke hari ini.

Ujar pemilik nama penuh Muhammad Hariz Muhammad Hamdan itu, kemalangan tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan emosi mendalam terhadap diri, malah turut menyukarkannya melakonkan babak melibatkan darah.

Saya mula fobia dengan darah selepas berlaku satu insiden kemalangan ketika saya berusia empat tahun.

“Saya tak ingat sangat, tapi yang saya ingat, tangan saya bergesel dengan tayar kenderaan menyebabkan darah memancut-mancut, selain meninggalkan parut kekal.

“Disebabkan itu, saya tak boleh tengok darah dan kalau nampak serta-merta boleh jadi loya, tapi saya bersyukur keadaan semakin baik,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai trauma dihadapi, pelakon berusia 22 tahun itu menjelaskan agak sukar untuknya melakukan babak yang melibatkan darah terutama dalam penampilan sulung  menerusi filem seram Banglo Seksyen 12.

Saya jarang menonton cerita seram sebab saya penakut. Jadi, boleh dikatakan, mencabar untuk saya jayakan naskhah ini apatah lagi ini filem pertama saya.

“Gemuruh memang ada terutama sewaktu menjayakan babak pemujaan menggunakan ayam mati yang memang guna ayam hidup dan keluar darah betul,” katanya.

Selain Hariz, filem terbitan Prisma Pictures Sdn. Bhd. itu turut menampilkan Intan Ladyana, Mustaqim Bahadon, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Faez Malek, Farah Yasmin, Faris Fikri dan ramai lagi.

Filem arahan bersama Intan dan Dharma Nasution itu bakal menemui penonton di pawagam mulai hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok