Harap mufti sokong dakwah Alif Satar – Nora Ariffin

MENGAGUMI semangat artis serba boleh Alif Satar mengimarahkan masjid dengan melaksanakan misi #GengSubuhMacamJumaat, penyanyi Datuk Nora Ariffin menyeru pihak mufti dan golongan pendakwa memberi sokongan terhadap usaha dakwah itu.

Perkara itu disuarakan pemilik nama lengkap Wan Norafizah Wan Ariffin, 50, selepas melihat sambutan hebat yang diberikan terhadap perjuangan Alif yang mahu masjid dan surau dihadiri ramai jemaah pada waktu solat subuh.

Saya cadangkan mufti dan golongan pendakwah memberi sokongan padu terhadap insiatif Alif kerana mengajak orang ramai ke masjid.

“Bukan mudah hendak suruh golongan muda berjemaah di masjid pada waktu subuh,” katanya dalam Instagram.

Selain mufti dan pendakwah, pelantun lagu Hanyalah Satu itu turut berharap agensi berkaitan agama untuk terus membantu serta memberi sokongan terhadap usaha dakwah terbabit.

Saya menyeru pihak Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan agensi agama yang lain terus memberi sokongan.

“Cadangan ikhlas daripada saya. Alif, teruskan usaha, ini adalah dakwah,” ujarnya.

Semalam, Jakim menzahirkan sokongan terhadap usaha Alif yang menggerakkan #GengSubuhMacamJumaat dengan mengimarahkan inisitiaf tersebut di tiga masjid utama di bawah pentadbirannya iaitu Masjid Putra, Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin dan Masjid Negara bermula minggu depan.

Sejak Disember lalu, inisiatif Alif untuk menyemarakkan masjid pada waktu subuh meraih sambutan hebat daripada orang ramai.

Usaha tersebut dibuktikan apabila beberapa masjid sekitar ibu negara dibanjiri orang ramai bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok