‘Hamdan Senario pesan maafkan dia jika ada salah silap’

“ABANG Hamdan sampaikan pesan kepada peminat Senario untuk maafkan dia jika ada salah silap.”

Itu antara pesanan terakhir Allahyarham Hamdan Ramli, 55, kepada ahli kumpulan Senario lain sebelum dia ditidurkan akibat komplikasi buah pinggang di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, 31 Disember lalu.

Rakan kumpulan Senario, Yassin Yahya, 46, memberitahu, pemergian Allahyarham terlalu berat untuk diterima kumpulan itu kerana terlalu banyak kenangan sepanjang 27 tahun bersama.

“Kenangan tak boleh dilupakan terlalu banyak, pahit manis semua ada. Cuma buat masa ini yang saya tidak boleh lupakan adalah pada malam terakhir kami semua berkumpul dan makan bersama-sama di sebuah restoran di Bandar Baru Uda (BBU).

“Abang Hamdan tiada tunjuk apa-apa tanda tidak sihat, sebaliknya kami semua gembira kerana dapat berkumpul untuk buat ‘show’ dan beraksi pada malam tahun baharu.

“Tetapi benda dah tertulis, sebelum ditidurkan isterinya ada maklum kepada kami abang Hamdan mohon maaf kepada semua termasuk peminat dan ahli keluarga, dia dah mohon awal-awal jika ada salah silap dia, itu antara pesanan dia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSA, di sini hari ini.

Tambah Yassin, Allahyarham bagaimanapun memilih untuk terus berada di Johor Bahru selepas selesai persembahan Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel di bandar raya ini pada malam tahun baharu, Ahad lalu.

“Saya dan beberapa rakan Senario memilih untuk tidak balik ke Kuala Lumpur bagi menunggu abang Hamdan dan memberi sokongan kepada keluarga.  Mereka tiada sesiapa di sini, takkan hendak biarkan sahaja.

“Lagipun saya tidak ada apa-apa rancangan di Kuala Lumpur ketika ini, jadi lebih baik tunggu di sini, tetapi tidak sangka seperti ini,” kata Yassin. – HIBGLAM.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok