SEKITAR hujung tahun 2022, penyanyi Hael Husaini sepatutnya melunaskan sebuah konsert solo bertempat di Zepp Kuala Lumpur, namun hasrat tersebut terbantut disebabkan faktor kesihatan.
Ditangguh ke tahun berikutnya, namun atas faktor-faktor tertentu, pihak penganjur akhirnya memutuskan untuk membatalkan terus konsert berkenaan.
Tidak menganggap perkara tersebut sebagai satu ujian berat, pemilik nama lengkap Hael Husaini Razmi itu tetap reda dan hikmahnya, pembatalan konsert membolehkan dirinya merealisasikan album sulung berjudul Antonim Part I pada 5 Januari lalu.
“Ikutkan sebelum ini konsert saya pernah dibatalkan, saya mahu lupakan perkara tersebut dan alhamdulillah setiap benda berlaku diberikan rezeki lebih besar.
“Saya akhirnya sempat menyiapkan album, insya-Allah saya akan tetap merealisasikan konsert untuk tebus semula apa yang tidak terlunas.
“Tahun ini, saya sedaya upaya ingin mengadakan konsert buat kalian semua yang menyokong,” katanya membuka bicara.
Enggan berlama-lama dalam membutirkan bicara tentang pelaksanaan konsert, Hael meneruskan perbualan mengenai buah tangan sulung yang memuatkan enam buah karya termasuk Diam, Kejora, Usia, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).
Antonim Part I
Baginya, setiap karya harus diperhalusi demi meninggalkan kesan mendalam buat pendengar.
“Pengalaman menghasilkan album ini kalau ikutkan banyak sebab dari dulu sampai sekarang orang tahu cara kerja saya yang suka pastikan segala yang dibuat memberi impak.
“Apabila membuat album, saya enggan ada lagu yang hanya jadi ‘pengisi’ kerana mahu menghargai setiap lagu daripada produser dan komposer yang bekerja keras.
“Disebabkan itu saya pecahkan kepada dua bahagian. Setiap lagu akan diberikan masa dan peluang untuk setiap pendengar menghayati karya saya,” ujarnya.
Ditanya mengenai sebab utama memecahkan album kepada dua bahagian, pelantun lagu Haram itu sememangnya tidak mahu karyanya disisihkan bagi menghargai pembikinan setiap naskhah bersama barisan komposer yang terlibat.
“Saya bahagikan kepada beberapa bahagian untuk beri masa kepada setiap lagu dan juga pendengar untuk mendengar muzik saya.
“Kalau keluar serentak secara banyak, kebanyakan pendengar akan memilih beberapa lagu sahaja yang lain hanya menjadi ‘pengisi’.
“Saya mewakili produser dan penulis lirik lagi faham perasaan mereka yang mahukan setiap lagu membuahkan hasil,” tutur anak jati Negeri Sembilan itu.
Contoh pendatang baharu
Keputusan membahagikan diskografi kepada dua bahagian membuatkan ramai menebak Hael sebagai seorang komposer dan anak seni yang cerewet.
Tidak membantah dengan dakwaan tersebut, bekas peserta Akademi Fantasia ke-10 itu mengakui kebenaran kenyataan tersebut kerana mahu dilihat sebagai contoh baik kepada pemuzik muda.
“Kalau kata saya cerewet, saya rasa perlu ada sebagai penyanyi terutamanya apabila saya dipandang golongan muda untuk jadikan contoh.
“Saya nak beri impak baharu dan bakar semangat industri muzik untuk berlawan cara seronok serta kreatif.
“Semoga Antonim Part I ini dapat beri inspirasi kepada semua pendatang baharu untuk jangan berputus asa bagi menaikkan industri muzik Malaysia,” jelas penyanyi yang juga merupakan seorang pelakon itu.
Seperti sedia maklum, album Antonim Part I bukan melihatkan penglibatan komposer luar seperti Omar K, Firdaus Rahmat, Ezra Kong, Iqie Hugh dan Hanis Rafi.
Bagi Hael, penglibatan kelima-lima komposer dalam albumnya adalah sebagai pencetus idea supaya dapat memberikan kualiti terbaik.
“Sepanjang karier saya suka bekerjasama dengan ramai produser dan komposer baharu.
“Ini kerana, akan ada lebih banyak idea yang lebih segar. Saya juga tidak mahu tamak dan akur diri sendiri.
“Untuk baiki diri, saya harus bekerjasama dengan produser dan komposer yang sudi supaya muzik saya akan lebih ke hadapan,” katanya seraya menoktahkan bicara.