‘Glow up’ luar biasa selebriti tempatan

SUDAH menjadi kelaziman bahkan tanggungjawab seorang figura awam untuk sentiasa kelihatan sempurna dari hujung rambut ke hujung kaki.

Hakikat hidup selebriti bagaikan berada di bawah kanta mikroskop netizen yang sentiasa diperhatikan segenap inci. Mahu tidak mahu, penampilan diri haruslah dijaga sebelum dicerca pentaksub media sosial.

Terdapat segelintir artis yang pada awal kemunculannya dalam arena seni, dilihat tidak cukup ‘terletak’ namun ada juga bermula comot kemudian berseri seiring waktu bergulir.

Sama ada perubahan berlaku pada wajah kurniaan Tuhan itu asli mahupun impak ‘buatan’ doktor, Gala minggu ini membariskan artis paling ‘glow up’ kini jauh berbeza sewaktu zaman naif pada awal kemunculan dalam industri seni.

  • HAEL HUSAINI

SIAPA tidak kenal dengan figura bernama Hael Husaini. Penampilan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) itu sentiasa ‘bersedia’, bersama imej dan gaya fesyen ala K-pop yang meraih respons berbeza netizen dalam media sosial.

Selain dilambung pujian, terdapat segelintir individu lain mendakwa perubahan pada wajah pemilik nama penuh Hael Husaini Razmi itu tidak asli. Dia dituduh melakukan pembedahan plastik selain rawatan kulit wajah.

Lebih teruk, foto lama penyanyi berusia 36 tahun itu ketika awal kemunculan mula tersebar dan menjadi bahan jenaka netizen yang rata-ratanya menyifatkan Hael sebagai taksub mahu menjadi ‘oppa’.

Tidak menggeleng mahupun mengangguk kepala atas dakwaan dan kecaman netizen, pelantun lagu Diam itu enggan mengulas lanjut selain menegaskan bahawa sebagai seorang selebriti, dia memang menjaga penampilan diri.

Begitupun, tidak dinafikan, wajah Hael kini kelihatan persis artis Korea Selatan dengan kulit putih melepak dan ‘jawline’ yang begitu tajam!

  • DAIYAN TRISHA

MEMILIKI raut wajah jelita, pelakon Daiyan Trisha juga antara selebriti didakwa melakukan pembedahan bahagian hidung apabila kelihatan lebih mancung dibandingkan dengan penampilan awalnya dalam industri hiburan.

Menafikan dakwaan tersebut, pemilik nama sebenar Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin itu bertegas, perbezaan berkenaan adalah disebabkan penggunaan aplikasi ‘filter’ ketika berswafoto.

Aktres berusia 30 tahun itu enggan ambil pusing terhadap dakwaan terbabit kerana yakin orang ramai bijak menilai.

Lagi pun, mereka (netizen) boleh tengok sendiri sama ada gambar tersebut guna filter ataupun tidak. Kalau guna mesti akan keluar di atas atau penjuru gambar tersebut filter yang saya gunakan.

“Dunia sekarang sudah moden, banyak kemudahan dan teknologi baharu yang boleh kita gunakan dalam media sosial,” tegasnya.
Benar atau tidak, Daiyan kini semakin dikenali dan selayaknya dimasukkan dalam senarai artis paling ‘glow up’.

  • NADEERA ZAINI

BAKAT penyanyi meningkat naik, Nadeera Zaini tidak usah diragukan lagi. Kemenangannya dalam pertandingan Big Stage musim kelima sudah cukup membuktikan kualiti nyanyiannya bukan biasa-biasa.

Bakat sahaja tidak memadai, penyanyi berusia 30 tahun itu pernah berdepan pelbagai hinaan mengenai penampilannya sehingga ada yang menyamakan wajahnya seperti haiwan.

Bukan itu sahaja, semasa masih dalam pertandingan Big Stage, penampilan dan konsep pakaian pelantun lagu Emas itu juga sering menjadi sasaran kritikan netizen yang menyifatkannya sebagai mangsa fesyen.

Kini tampil ‘glow up’ dengan dagu runcing, timbul pula dakwaan kononnya dia telah menjalani prosedur kecantikan buang lemak dan suntikan botoks bagi mengubah bentuk mukanya.

Enggan membiarkan orang terus berkata-kata, penyanyi kelahiran Johor itu menafikan segala tuduhan selain menegaskan perubahan pada wajah dan badannya disebabkan diet sehingga turun sekitar 10 kilogram.

  • ZOEY RAHMAN

PELAKON yang kini berjaya sebagai usahawan Zoey Rahman juga antara selebriti paling ‘glow up’.

Dia tampil dengan wajah yang agak berbeza berbanding daripada rupa paras asal ketika mula menghiasi televisyen satu ketika dahulu.

Dibanjiri pujian, pemilik nama Mohd. Hairey Azhar Abd. Rahman itu pada masa sama perlu menelan tuduhan netizen yang mendakwa dirinya melakukan pembedahan kosmetik.

Bukan itu sahaja, netizen berpendapat wajah dahulunya lebih kelihatan maskulin dan tampan berbanding rupa terkini yang disifatkan agak aneh dan jelas ketara berbeza.

Anak jati Besut, Terengganu itu mengakui terguris dengan cacian yang dilemparkan, namun dia memilih untuk memekakkan telinga.

Baginya, dia lebih berkeyakinan setelah melakukan transformasi yang dilihat jauh terlihat lebih muda daripada usia sebenar, sekali gus menegaskan apa yang dilakukan itu adalah demi kepuasan diri dan kejayaan perniagaannya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok