Filem terakhir Allahyarham Abam Bocey

SELEPAS lima tahun diperam, filem Tantiana yang merupakan lakonan terakhir pelawak popular Allahyarham Abam Bocey bakal menemui penonton di pawagam pada 29 Februari depan.

Menurut penerbitnya, Datuk M Razlan Ismail, Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan meluahkan hasrat untuk membintangi filem tersebut meskipun bukan sebagai pelakon utama.

“Kami selalu berbual mengenai filem ini di belakang pentas ketika Abam terbabit dalam Maharaja Lawak Mega (MLM).

“Walaupun dia tahu peluangnya untuk menjadi pelakon utama agak mustahil, tetapi dia tetap ingin jayakan filem ini,” tutur M Razlan dalam satu sesi temu bual baru-baru ini.

Tambah M Razlan, pihaknya yakin filem bergenre seram komedi itu mampu mengubat kerinduan peminat terhadap Abam menerusi watak Belon yang dilakonkannya.

Saya minta dia menjadi diri sendiri dan itulah karya terakhirnya. Melihat Abam dalam filem ini benar-benar menggamit memori dan diharap dapat melepaskan rindu peminat untuk melihat keletahnya,” kata M Razlan.

Allahyarham Abam Bocey meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.

Sungguhpun filem tersebut menjalani penggambaran pada 2018, namun pihak penerbitan, Dream At Work Sdn. Bhd. terpaksa menangguhkan tayangannya sehingga empat tahun kesan daripada pandemik Covid-19.

Selepas membuat kajian pasaran dan mendapat khidmat nasihat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan menerusi skim wajib tayang, pihak penerbit yakin tahun ini adalah waktu yang tepat untuk menayangkan filem Tantiana.

“Bukan tidak mahu tayang lebih awal, tetapi apabila pawagam dibuka selepas pandemik, begitu banyak peraturan yang harus diikuti seperti duduk berjarak di dalam panggung membuat saya berasa agak skeptikal.

Filem Tantiana bakal menjengah pawagam hujung Februari ini.

“Sebagai penerbit saya sedar filem sudah agak lama, jadi produksi membuat sedikit perubahan daripada segi suntingan supaya sesuai dengan selera peminat filem hari ini,” ujarnya.

Melihat perkembangan positif pasaran filem tempatan, M Razlan berharap filem Tantiana bakal mendapat kutipan yang memberansangkan.

“Saya yakin filem ini akan mendapat sambutan. Selain faktor filem terakhir arwah Abam, karya ini sangat menarik dan mudah diterima penonton,” katanya penuh yakin.

Selain Abam, filem Tantiana turut menampilkan ramai pelakon popular tanah air seperti Joey Daud, Datuk Rahim Razali, Tauke Jambu, Atikah Suhaime, Jay Iswazir, Zalif Sidek dan Kazar.

Menyambung bicara tentang perancangan tahun 2024, selain filem Tantiana, produksi Dream At Work Sdn. Bhd. bakal muncul dengan filem Lantara Dosa yang dijangka berada di pawagam pada penghujung tahun ini.

Filem Lantara Dosa agak berlainan genre iaitu psiko thriller dan menampilkan ramai pelakon baharu.

“Mengikut perancangan setiap tahun kami akan tampil dengan satu atau dua buah filem sahaja. Selebihnya kami akan fokus dengan penerbitan drama di televisyen,” jelas M Razlan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok