SUDAH lama sebenarnya khalayak tidak dijamu dengan kualiti lakonan Nur Fazura dalam mana-mana filem mahupun drama sejak beberapa tahun ini.
Status isteri, ibu dan tambahan pula cabang karier lebih tertumpu terhadap perniagaan terlebih dahulu menjadi keutamaan jadual hidup Fazura.
Banyak kali menggelengkan kepala kepada naskhah yang disua ramai sutradara, ternyata pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin itu tidak mampu berbuat perkara sama apabila ditawarkan watak ketua srikandi dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.
Mengakui watak unik dan mencabar sedemikian belum pernah digalas, si cantik itu mencabar diri menjayakan karakter Sayang yang sedikit sebanyak selari dengan pendirian hidupnya sebagai wanita perkasa.
Bersungguh-sungguh menjayakan karakter, filem berkisar perjuangan Tok Gajah bersama pahlawan tempatan menentang serangan penjajah British itu menjadi medan buat Fazura menampilkan sisi berbeza dalam lakonan.
“Saya suka cabaran, ini adalah sesuatu yang baharu dan belum pernah saya buat, selalunya asyik ditawarkan watak cinta saja, kali ini ada juga soal cinta tapi naratif dan pengembangan watak berbeza, ini saya suka.
Watak ini sangat kuat, tidak lari jauh daripada sifat azali saya iaitu seorang pejuang dan wanita yang kuat secara semula jadi.
“Walaupun mencabar, naskhah ini adalah hadiah buat peminat yang sudah lama menantikan kemunculan saya di layar lebar selain dapat menyaksikan sisi lain lakonan dan watak yang saya bawa,” ujarnya.
Selain itu, terdapat babak menuntutnya mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran, Fazura mengakui sangat berhati-hati dan merujuk dengan beberapa guru mengaji dan pakar tajwid di set penggambaran.
Banyak kali juga lakukan babak mengaji sebab perlu menangis dan setiap butir bacaan kena betul. Tak mahu nanti timbul isu.
“Mujur di set penggambaran ada beberapa guru mengaji, saya rujuk dan bertanya tentang tajwid dan cara bacaan sepatutnya.
Perkara yang melibatkan agama kena buat betul-betul, bimbang nanti jadi isu dan contoh tidak baik kepada penonton, sekali gus tidak selari dengan keperibadian seorang srikandi,” tuturnya serius.
Bercakap tentang kerjasama dengan suaminya, Fattah Amin yang juga pemegang watak utama dalam naskhah berkenaan, pelakon berusia 41 tahun itu mengakui teruja, namun pada masa sama tetap profesional.
Menyifatkan peluang tersebut bagai bulan jatuh ke riba, dengan watak sarat semangat, lebih bermakna itulah gandingan pertama kali pula dengan Fattah di layar perak selepas mereka mendirikan rumah tangga.
Saya teruja dan gembira berlakon dalam naskhah ini, apatah lagi bergandingan dengan suami sendiri, satu pengalaman yang berbeza.
“Ini kali pertama saya bergandingan dengan Fattah dalam filem sebagai suami isteri. Kalau drama, kali terakhir kami berlakon bersama Hero Seorang Cinderella, agak lama juga,” tuturnya.
Baca artikel penuh dapatkan Kosmo! atau Kosmo! Online. – HIBGLAM