NAMA pelakon Ezzanie Jasny belum pernah dikaitkan dengan mana-mana lelaki, apatah lagi digosipkan mempunyai kekasih.
Atas dasar itulah, keakrabannya dengan penyanyi rap, Noki K-Clique mudah mencatat takat didih. Tidak semena-mena, kisah cinta mereka hangat diperkatakan.
Biar berulang kali menegaskan antara mereka sekadar teman biasa, tetap ada dalam kalangan pemerhati menganggap masing-masing cuba menyembunyikan hubungan yang sedang terlakar manis.
Semuanya gara-gara kemesraan yang turut dikongsikan dalam media sosial, sekali gus menjadi petunjuk, Ezzanie dan anggota K-Clique itu lebih daripada sekadar sahabat.
Tidak melatah, sebaliknya pemilik nama sebenar Nur Ezzanie Sherazade Jasny itu sebaliknya tertawa mendengar satu persatu usikan nakal yang singgah di telinganya.
Akrab tak bermakna intim, rapat tak semestinya bercinta, cuma saya dan dia berkawan macam dengan orang lain,” lentur pelakon Layang-Layang Perkahwinan itu membuka bicara.
Menyedari persahabatan mereka menjadi perhatian, Ezzanie menegaskan usianya masih terlalu muda untuk ke fasa cinta, tambahan pula keinginan mengejar cita-cita masih jauh untuk digapai.
Baru berusia 24 tahun itu, fokus Ezzanie mahu menimba sebanyak mungkin ilmu lakonan. Terlalu banyak juga pengalaman yang mahu diraih.
“Saya masih baharu dalam bidang seni, jadi kena fokus terhadap kerja selain banyakkan masa mendalami watak dan perwatakan.
Sekarang saya terikat dengan jadual penggambaran drama bersiri 28 episod siaran Astro Ria berjudul Layang-Layang Perkahwinan yang buatkan masa saya sentiasa padat.
“Saya pun baharu saja kenal Noki, bermula apabila dia datang bertemu dengan MK K-Clique yang ketika itu berlakon dengan saya.
“Memang kemudian kami jadi kawan Instagram sebelum keluar bersama ke sebuah pusat beli-belah, tapi keluar sebagai rakan,” ujarnya mengelak salah faham.
Diminta mengulas keistimewaan jejaka asal Sabah itu, sekali lagi Ezzanie tertawa, namun menyatakan Niki atau Ahmad Ikhwan Aji, 30, mempunyai sisi humor selain sekepala dengannya.
Dia juga menangkis dakwaan sengaja mengelak daripada membuat pengakuan bercinta kerana bimbang sahamnya jatuh.
“Mana ada, saya tak takut pun. Kalau betul bercinta, saya akan dedahkan. Tidak sampai takut jatuh ‘saham’.
Tetapi jodoh, ajal, maut tiada siapa tahu. Kalau betul dia orang yang betul dan ditakdirkan untuk saya, terima sajalah.
“Dalam bersahabat pun saya tak letakkan syarat, saya cuma follow the flow,” ungkapnya yang belum terfikir untuk berumah tangga.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM