KES saman fitnah pelawak dan usahawan, Shuib ke atas seorang individu bernama Md. Johan Dihani Mohd. Zaidi atau John Dihani berhubung tuduhan menfitnahnya terbabit dengan organisasi Freemason, akhirnya selesai hari ini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Instagram, Shuib memberitahu dia sudah memaafkan perbuatan tertuduh atas dasar ikhsan dan profesional, namun lelaki itu tetap perlu membayar tuntutan saman yang tidak didedahkan jumlahnya.
“Alhamdulillah, hari ini 10 Januari 2024, selesai sudah kes fitnah terhadap diri saya dan Allahyarham Siti Sarah Raissudin (arwah isteri). Hampir lima bulan dan hari ini semuanya telah pun terjawab. Fitnah kamu, John Dihani adalah langsung tidak berasas dan masuk akal.
“Tetapi atas dasar ikhsan dan profesional, saya maafkan kamu dan halalkan segala fitnah terhadap saya. Untuk saman ini, ada jumlah yang perlu dibayar, cuma saya tidak boleh jelaskan berapa jumlahnya,” kongsi Shuib.
Dalam hantaran itu juga, Shuib atau nama lengkapnya Shahmira Muhammad memaklumkan hasil daripada saman yang dibayar tertuduh itu nanti, akan disalurkan ke dalam Tabung Palestin dibawah Yayasan Nurjiwa, milik penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri khalid Mohamad Jiwa (Datuk K).
“Untuk saman ini, ada jumlah yang perlu dibayar, cuma saya tidak boleh jelaskan berapa jumlah yang perlu dibayar.
“Hasil duit saman semua akan disalurkan ke Tabung Palestin dibawah Yayasan Nurjiwa,” katanya.
Shuib berharap apa yang berlaku ini menjadi pengajaran buat semua agar berhati-hati ketika menggunakan media sosial.
“Saya doakan semoga awak dipermudahkan segala urusan dan semoga ini menjadi pengajaran pada semua supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial. Jangan suka-suka menabur fitnah tanpa usul periksa.
“Jangan jadikan fitnah satu perkara normal. Ini bukan budaya kita orang Malaysia. Assalamualaikum,” katanya.
Sementara itu, menerusi sebuah video, John yang turut berada di samping Shuib dan peguamnya, Syed Afiq Syed Albakri ketika berada di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam, pagi tadi turut menyatakan permohonan maaf dan mengakui kesalahan yang telah dilakukannya selesai merekodkan satu penghakiman persetujuan antara pihak plaintif (Shuib) dan defendan (John Dihani).
“Pada 5 Ogos 2023, saya telah membuat satu hantaran dalam akaun Instagram saya dibawah nama pengguna @John.dihani, di mana saya telah menyatakan beberapa kenyataan berunsur fitnah terhadap seorang Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib.
“Saya juga telah menyatakan beberapa kenyataan fitnah pada ruang komen dalam Instagram tersebut. Saya menyatakan bahawa kenyataan-kenyataan fitnah tersebut dibuat tanpa apa-apa bukti dan tanpa apa-apa asas.
“Saya menyatakan bahawa tindakan saya untuk menyebarkan kenyataan-kenyataan fitnah tersebut dibuat tanpa menghiraukan kesan yang dialami oleh Shuib. Saya sedar penyebaran fitnah merupakan satu fenomena yang kerap berlaku dan saya membuat kenyataan ini agar menyarankan pihak supaya tidak menyebarkan fitnah,” katanya.
Oleh hal demikian, John Dihani memohon maaf kepada Shuib dan mengakui kesalahan yang telah dia lakukan terhadap bapa kepada empat orang cahaya mata itu.
“Saya dengan ini memohon maaf kepada Shuib terhadap penyebaran dan penularan kenyataan-kenyataan fitnah yang dibuat saya dalam hantaran Instagram tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, Shuib mengambil tindakan terhadap seorang pengguna media sosial selepas menuduhnya anggota organisasi Freemason, selain didakwa sengaja membiarkan Siti Sarah ditidurkan sebelum meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 dua tahun lalu.
Pada 10 Ogos 2023, Shuib dalam satu sidang media yang dibuat, meneruskan tuntutan saman terhadap John Dihani, biarpun lelaki itu menafikan perbuatan menyebarkan fitnah mengaitkannya dengan Freemason – HIBGLAM