Duet memukau Aina, Ernie tutup mulut peminat toksik

PERSEMBAHAN duet serasi Aina Abdul dan Ernie Zakri menerusi konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore yang berlangsung di The Theatre, Mediacorp, malam tadi meraih pujian melabung netizen.

Kehadiran Ernie Zakri dalam konsert terbabit sebagai penyanyi jemputan yang mengalunkan lagu Gundah secara duet bersama Aina sebelum melantunkan lagu terbaharunya berjudul Masing-Masing.

Persembahan tersebut dirakam penonton dan dimuat naik ke dalam TikTok, sekali gus tular dan meraih pelbagai respons.

Semakan Hibglam dalam media sosial mendapati rata-rata netizen berpuas hati selain meminta Aina dan Ernie menghasilkan album duet yang memuatkan lagu pelbagai genre.

“Persembahan khas untuk peminat toksik yang suka melaga-lagakan,” kata seorang pengikut.

“Rasa macam nak menangis tengok persembahan mereka, terlalu sempurna, tolong hasilkan lagu duet bersama, biar pembenci melopong tengok, “ komen seorang peminat.

“Aina dan Ernie permata negara yang harus dijaga bukan dilaga-lagakan, mereka berdua sangat berkualiti,” demikian komen seorang lagi peminat.

“Tolong hasilkan album duet yang memuatkan pelbagai genre lagu, baru peminat puas nak dengar karya kalian, bukan boleh tengok masa konsert saja,” komen netizen.

Selepas kejayaan tiga konsert solo di Malaysia, Aina, 31, terbang ke Singapura bagi menjayakan konsert solo pertamanya di negara itu.

Bertempat di The Theatre at Mediacorp yang dihadiri sekitar 1,800 penonton, persembahan memukau anak kelahiran Johor itu sekali lagi hangat diperkatakan dalam media sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok