DITUDUH mencuri beg tangan berjenama mewah milik pelakon Fatiya Latiff, aktres Zarina Anjoulie menjelaskan dia terpaksa berbuat demikian selepas wanita itu tidak melunaskan hutang.
Tidak kebulur barang orang lain, pemilik nama penuh Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, itu berkata tunangnya, Datuk Khazrul Elzey lebih daripada mampu untuk membelikan barangan mewah buatnya.
“Dia tak bayar hutang aku. Kalau laki (tunang) aku boleh belikan semuanya, kau tak rasa aku boleh minta beg apa-apa saja yang aku nak.
“Kalau dia boleh belikan aku jam, cincin dan gelang, kau rasa aku akan curi beg tangan orang lain? Aku akan minta tunang aku belikan apa yang aku nak.
“Jadi masuk akal ke aku nak mencuri barang kau? Fikir pakai otak sikit,” ujarnya menerusi siaran langsung dalam Instagram.
Diasak netizen mengapa berkongsi kembali gambarnya bersama pelakon Ariana Rose itu, Zarina tidak berniat mengeruhkan keadaan sebaliknya sekadar mengimbas kenangan lalu memandangkan Fatiya mendakwa mereka tidak pernah berkawan baik sebelum ini.
“Tiada niat apa pun, saja sekadar mengimbau kenangan lama.
“Sebenarnya dia ada buat siaran langsung selepas itu dia mengakui kami tidak rapat dan hanya jumpa beberapa kali jadi aku sengaja kongsi gambar kami bersama,” ujarnya panjang lebar.
Terdahulu, nama Zarina yang mesra disapa Anju itu meledak dalam media sosial selepas dia mengulas kenyataan Fatiya yang menyamakan wajah pelakon Zahirah MacWilson dengan bibik atau pembantu rumah.
Anju dalam komennya memberitahu, sikap busuk hati dan suka membanding-bandingkan menjadi punca mereka berbalah dan putus sebagai sahabat.
Tidak mendiamkan diri, Fatiya terus menyerang Zarina sekali gus mendedahkan pelakon itu pernah mengambil beg tangan miliknya dan tidak pernah memulangkan barangan tersebut. – HIBGLAM