‘Diserang’ Fatiya, Zahirah Macwilson, Aiman tak terkesan

Selepas beberapa hari nama dipetik pelakon Fatiya Latiff, pihak pengurusan Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim Redza iaitu Min Yasmin memaklumkan pasangan selebriti itu berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

Min turut memaklumkan baik Zahirah mahupun suaminya, Aiman meneruskan rutin kerja seperti biasa dan tidak terkesan dengan apa yang terjadi.

“Tiada komen daripada mereka berdua. Dalam masa sama, kerja berjalan seperti biasa,” katanya.

Menurut Min, Aiman baru sahaja selesai penggambaran filem Harimau Malaya The Untold Journey dan akan memulakan penggambaran sebuah drama dalam masa terdekat.

Manakala Zahirah pula yang sepatutnya memulakan penggambaran filem dan drama terpaksa menarik diri selepas mengetahui dirinya berbadan dua.

“Zahirah akan berehat berlakon buat sementara waktu namun akan meneruskan komitmen kempen jenama dalam dan luar negara,” kata Min.

Terdahulu, Fatiya mengejutkan ramai apabila melabel wajah Zahirah seperti pembantu rumah dan menuduh aktres itu melakukan pembedahan kosmetik untuk menebalkan bibir.

Keadaan semakin panas apabila Fatiya atau nama lengkapnya Nur Fatiya Abdul Latiff, 36, bertindak memuat naik foto bersama bekas kekasihnya, Aiman Hakim Ridza, yang kini suami Zahirah.

Bukan hanya itu, dia turut berkongsi keratan akhbar temu bual Aiman yang memaklumkan masih menyayangi dirinya meski sudah setahun berpisah.

Terdahulu, Fatiya dan Aiman pernah bercinta namun hubungan mereka berakhir pada Disember 2015.

Aiman kemudian menamatkan zaman bujang dengan Zahirah pada 20 Februari 2020 dan bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok