PELAKON cantik, Puteri Sarah Liyana mengakui terkesima dengan nasihat sahabatnya yang juga aktor asal Indonesia, Andi Arsyil Rahman agar menjadi insan lebih sabar dan pemaaf.
Malah ujar pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu, Andi juga memintanya melupakan semua perkara toksik serta episod derita dalam hidupnya.
Sakit hati juga bila AA (panggilan Andi) suruh saya cuba jadi baik, saya rasa macam kena tikam dengan kata-kata itu.
“Padahal sikap sebegitu bukanlah diri saya, tapi tidak mengapa, kita ambil segala nasihatnya dan kita cuba.
Bos besar (Andi) kata tahun 2024 ini saya kena cuba jadi orang yang baik-baik, pemaaf dan berjaya selain tinggalkan semua yang toksik,” katanya menerusi siaran langsung yang dimuat naik semula peminat dalam TikTok.
Tinjauan HibGlam menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap pelakon Ketika Cinta Bertasbih itu yang sentiasa mengambil berat selain mendorong Puteri Sarah ke arah kebaikan.
Tidak hairan ramai yang berharap mereka berdua berjodohan suatu hari nanti.
Suka sangat tengok gandingan mereka berdua, bagus Andi ajar Puteri Sarah jadi orang penyabar dan baik hati, insya-Allah rezeki dia sentiasa melimpah ruah,” komen netizen itu.
“Bagus Puteri Sarah hanya menurut perintah dan dengar nasihat Andi walaupun kita semua tahu dia memang sudah lama tinggalkan perkara toksik dibelakang hidupnya. Harap kalian berjodohan,” komen seorang lagi netizen.
Kami percaya Puteri Sarah boleh jadi seperti yang Andi katakan, sesuai sangat Sarah dengan Andi, macam saling melengkapi, kalau ada jodoh maka untunglah anak-anak Sarah,” demikian komen pengguna media sosial itu.
Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu sebelum ini didakwa menjalin cinta dengan Andi, 36, apabila kerap muncul bersama dalam siaran langsung TikTok.
Bagaimanapun, dia menegaskan hubungan mereka hanya sekadar rakan kongsi perniagaan membabitkan barangan berupa produk kecantikan sejak tahun lalu. – HIBGLAM