[VIDEO] Dikecam isu ‘soft porn’, Alya Iman hanya ikut skrip

KUALA LUMPUR – Mengutamakan kesihatan mental mendorong pelakon sensasi Alya Iman tidak mempedulikan kecaman yang dilemparkan netizen setiap kali namanya terpalit kontroversi.

Pemilik nama lengkap Nur Alya Iman Azmil itu berkata, pengalaman melalui pelbagai kisah duka dalam kehidupan membuatkan jiwanya kalis tohmahan.

“Orang memang sudah bencikan saya, jadi saya tak kisah perkara buruk diperkatakan mengenai diri saya. Siapa yang kenal saya, tahu saya takkan buat perkara mengarut.

“Walaupun baru berumur 23 tahun, saya sudah melalui banyak pengalaman menyedihkan yang membentuk diri ini untuk menjadi individu tabah serta kalis kecaman.

“Kehilangan ibu ayah, membesar dalam keluarga berantakan dan bekerja pada usia muda antara faktor penguat semangat, tapi saya selalu ingatkan diri apa yang saya lalui kini hanya sekelumit cabaran dibandingkan pengalaman lalu,” katanya kepada HibGlam.

Menurut anak bongsu kepada aktor merangkap pendakwah bebas Allahyarham Azmil Mustapha itu, sesekali air matanya tumpah apabila ada individu terus menghakimi dirinya tanpa usul periksa.

Begitupun, pelakon drama Layang Layang Perkahwinan itu tidak menyalahkan takdir atas segala peristiwa pahit yang menimpa dirinya.

“Pernah juga saya duduk menangis tapi tiadalah sampai tahap meratap nasib diri atau mempersoalkan ujian yang singgah dalam hidup.

“Saya anggap dugaan yang saya lalui itu sebagai lumrah setiap insan,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Layang-Layang Perkahwinan, semalam.

Alya turut mengulas mengenai reaksi negatif penonton susulan babak didakwa berunsur separuh lucah atau ‘soft porn’ lakonan bersama Shukri Yahaya yang disiarkan menerusi Astro Ria.

Dalam naskhah arahan Eyra Rahman yang tular itu, watak Tsuraya Lin lakonannya digambarkan sebagai penyondol dalam rumah tangga Azim Hasibullah (Shukri Yahaya).

“Masa mula-mula dapat skrip, saya tanya kak Eyra betulkah saya kena bawa watak ini? Ini kerana watak ini boleh mengundang kecaman.

“Namun sebagai pelakon, saya jalankan tanggungajawab mengikut skrip, malah cukup saya tahu di belakang kamera adegan tersebut tidak seperti disangkakan,” jelasnya.

Kontroversi tercetus apabila dalam satu babak terawal drama bersiri 28 episod itu, Tsuraya dilihat memasuki bilik air yang menampakkan Azim sedang mandi.

Sebelum ini, bekas model muslimah itu juga pernah didakwa bertunang dengan suami orang, selain berdepan kecaman gara-gara isu buka tudung sekitar tahun lalu. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok