PASANGAN pelakon Datuk Fizz Fairuz dan Datin Almy Nadia yang baru beberapa hari pulang dari Tanah Suci Mekah diuji apabila semua anak dimasukkan ke hospital berikutan dijangkiti rotavirus.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik Almy dalam Instagram miliknya, pelakon berusia 38 tahun itu memaklumkan anak bongsunya, Nur Afrina Aisyah terlebih dahulu mengalami muntah dan ciri-birit selama empat hari, sebelum tiga lagi anaknya yang lain turut berdepan masalah sama.
“Tolong doakan kami (anak-anak) cepat sihat. Mula-mula Aisyah muntah dan cirit-birit selama empat hari, kemudian Ayra (Nur Afrina Ayra). Terus mama bawa ke hospital,” ujarnya yang berharap dua lagi anaknya tidak dijangkiti.
Bagaimanapun, Almy atau nama sebenarnya Ungku Almy Nadia Aminuddin Shah terpaksa menerima hakikat apabila seorang lagi anaknya iaitu Nur Afrina Aurora turut diserang gejala sama.
“Saya nak minta tambah satu lagi doa untuk Aurora supaya cepat sembuh. Dia pula muntah-muntah, lembik. Jadi dia juga telah di hantar ke hospital,” ujarnya.
Tidak berhenti di situ, puteri sulungnya, Nur Arfina Arianna turut dikejarkan ke hospital kerana turut dijangkiti rotavirus, sekali gus menempatkan keempat-empat anaknya dalam satu wad.
“Tolong doakan anak sulung saya (Arianna) yang baru menyertai adik-adiknya dalam wad. Tolong doakan saya dan suami kuat untuk menjaga anak-anak. Terima kasih semua,” katanya.
Sementara itu, Fizz atau nama lengkapnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin ketika dihubungi Kosmo! Online memaklumkan, keadaan anak-anaknya semakin pulih, terutama Ayra (ketiga) dan Aisyah (bongsu).
“Alhamdulillah anak ketiga dan bongsu semakin pulih. Tunggu anak kedua dengan yang sulung pula. Tapi, setakat ini semuanya baik-baik sahaja,” ujarnya.
Pada masa sama, Fizz turut bersyukur apabila semua puterinya kembali ceria dan sudah boleh ketawa berbanding ketika mula-mula dirawat dalam wad.
Mengulas lanjut, pelakon berusia 45 tahun itu menolak kemungkinan anak-anaknya dijangkiti rotavirus ketika berada di Tanah Suci.
“Kalau nak kata mereka kena (rotavirus) ketika berada di Tanah Suci, mesti sebelum pulang ke Malaysia mereka sudah pun terkena cirit-birit dan muntah di sana. Tapi selepas beberapa hari pulang baru mereka kena,” katanya seraya memaklumkan anak-anaknya akan berkampung beberapa hari lagi di hospital.
Dalam pada itu, Fizz tidak ketinggalan menzahirkan rasa syukur kerana dia dan isteri tidak dijangkiti virus tersebut dan boleh menjaga anak-anak di hospital.
Malah, aktor yang mencipta nama menerusi drama Nur Kasih itu turut mengagumi kecekalan Almy yang sentiasa tenang dan tangkas mengurus anak-anak mereka.
“Saya kagum dengan kecekalan isteri menjaga anak-anak. Memang saya respek dengannya,” kata Fizz.
Sekadar info, rotavirus merupakan virus yang menyebabkan cirit-birit dan muntah yang teruk serta boleh menyebabkan kehilangan cecair badan yang banyak dalam kalangan kanak-kanak.
Terdapat 9 jenis rotavirus, namun rotavirus A paling kerap menjangkiti manusia. – HIBGLAM.