Cinta mati Fauziah Latiff

TERKENAL dengan santun lemah lembut dan sikap mudah mesra, Fauziah Latiff yang selesa membahasakan dirinya Jee Latiff hanya tergelak kecil saat diusik khabar angin dilamar sebuah syarikat pengurusan majlis terkenal untuk merealisasikan sebuah konsert solo.

Belum boleh berkongsi maklumat walaupun perbincangan ke arah kemenjadian sebuah konsert menampakkan petanda positif, Jee mengakui, selepas berbelas tahun tidak beraksi di sebuah pentas besar, banyak perkara perlu dipertimbangkan meski dunia nyanyian adalah cinta matinya.

Hakikatnya, figura dihormati ramai itu enggan merebut peluang tanpa memikirkan kemampuan diri apatah lagi dia sudah terlupa bila kali terakhir menjayakan sebuah konsert disebabkan terlampau lama tidak beraksi.

Kata pemilik nama sebenar Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 53, bukan tiada langsung memenuhi undangan persembahan, cuma semua itu boleh dikira dengan jari memandangkan fokus kini adalah Port Seni iaitu studio muzik yang dikelolakan sejak lebih sedekad lalu.

“Sejujurnya sebelum ini ada ramai yang datang merisik mempelawa saya mengadakan konsert tetapi terpaksa tolak dengan baik kerana tahu kemampuan diri jika tiada persediaan rapi.

Prinsip saya pula mahukan yang terbaik, bukan sekadar tangkap muat atau main sambar sahaja kerana banyak faktor perlu diberi penekanan agar impaknya terus dirasai biarpun konsert sudah berakhir.

“Saya pula jenis cerewet apabila membabitkan hal kerja lebih-lebih lagi projek besar yang menuntut persediaan rapi seperti ini,” ujarnya.

Memahami keterujaan ramai, penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu turut meminta diberikan masa enam bulan untuk melakukan persiapan sebelum dapat tampil seperti yang dinantikan peminat.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok