Celaka bukan perkataan kesat – Hael Husaini

PENYANYI Hael Husaini menjelaskan penggunaan perkataan celaka dalam lirik lagu terbaharunya yang berjudul Diam bukan perkataan kesat.

Hael atau nama lengkapnya Hael Husaini Razmi, 37, turut memohon maaf sekiranya perkataan tersebut dianggap kasar segelintir pihak walaupun dia tidak bermaksud sedemikian.

Kalau nak ikutkan saya mengkaji dahulu apabila mahu melakukan sesuatu terutama sekali untuk menjaga sensitiviti.

“Sebenarnya perkataan celaka disalahgunakan sedikit dalam kehidupan harian kerana maksudnya sebenarnya adalah malang.

“Saya minta maaf kalau agak kasar tetapi kalau boleh cuba fikir dalam konteks berbeza yang lebih positif. Saya juga mahu ubah mentaliti,” katanya kepada HibGlam pada sidang akhbar pelancaran album pertamanya, Antonim Part I.

Dalam masa sama, pelantun lagu Haram itu memaklumkan perkataan celaka dipilih agar lebih dekat dengan pendengar yang menempuhi hari malang dalam kehidupan seharian.

Saya mahu ajar bahawa celaka bukan perkataan kesat. Konteks lagu ini pula saya dedikasikan untuk diri sendiri yang ada masa menempuhi hari malang.

“Cumanya, saya ikut peredaran zaman dan menggunakan bahasa lebih dekat dengan pendengar bagi memudahkan penyampaian mesej.

“Tidak salah digunakan pun. Saya cuba mahu ubah supaya tidak hadkan penggunakan bahasa,” ujarnya ketika ditemui di The Bee, Kuala Lumpur semalam.

Selain Diam yang dimuatkan dalam album Antonim Part I, lima lagu lain yang dimuatkan dalam diskografi tersebut adalah Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dahulu (versi orkestra).

Antonim Part I merupakan hasil nukilan barisan komposer terkemuka tanah air  seperti Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Hael sendiri yang boleh distrim bermula 5 Januari lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok