“PERCAYALAH, itu bukan Aman Graseka!”
Itu antara respons penyanyi Mas Idayu mengenai isu membabitkan bekas suaminya iaitu pelakon, Aman Graseka yang didakwa sedang mengalami kesempitan hidup sehingga terpaksa memohon bantuan kewangan daripada rakan selebriti lain.
Mas atau nama penuhnya Mas Idayu Mesnun, 51, yakin Aman bukan seorang yang gemar mengemis wang daripada orang lain seperti yang berlaku baru-baru ini.
“Saya menyokong beberapa kenyataan rakan selebriti lain seperti Sharifah Shahirah dan Ellie Suriaty serta percaya tindakan meminta wang itu bukan dilakukan oleh Aman. Itu adalah perbuatan ‘scammer’ dalam rumahnya sendiri.
“Kalau boleh tak mahu menuduh sesiapa tetapi yakin semua ini dilakukan oleh individu terdekat, yang selalu kawal telefon dia, siapa?” katanya.
Tambahnya, dia yakin perkara tersebut dilakukan oleh individu terdekat kerana Aman sehingga hari ini masih ‘hilang’ tanpa sebarang penjelasan selain tidak dapat dihubunginya oleh semua pihak.
Ujar Mas Idayu lagi, dia juga hairan Aman tidak meminta bantuan daripada anak mereka, Nur Dayini Asyiqah, 26, yang kini sudah berkerja, justeru percaya permintaan yang dihebohkan ramai itu bukan dilakukan oleh Aman.
“Sehingga hari ini, dia masih sepi dan keberadaannya juga kita tidak tahu sebab telefonnya dikawal.
Usaha anak mencari bapanya juga masih gagal sebab tak dapat dihubungi kerana nombor sudah disekat. Kalau benar susah, kenapa tidak mencari anak?” ujarnya.
Mengakui agak keberatan mengulas isu itu, Mas Idayu bagaimanapun tetap mendoakan kesejahteraan Aman dan berharap segala kebenaran bakal terbongkar tidak lama lagi.
“Saya sudah tiada kena mengena dengan Aman tapi dia bapa kepada anak saya. Saya percaya kenyataan ini dapat membantu Aman.
Jadi, saya cuma berharap dia okey dan tiada mengalami sebarang gangguan sebab Aman yang saya kenal adalah seorang waras serta sihat.
“Harap individu di sebalik semua kegiatan ini akan sedar dan berhenti melakukan perkara yang memburukkan imej Aman sebagai seorang pelakon,” katanya lagi.
Terdahulu, penyampai radio Suria FM yang juga pelakon, Sharifah Shahirah memuat naik perkongsian di Instagram mengenai Aman atau Aman Shah Baharom Shah, 56, yang meminta bantuan untuk keluarga dan anak-anaknya.
Tindakan tersebut bagaimanapun meraih kecaman ramai apabila ada yang mendakwa Aman seorang ‘scammer’.
Difahamkan, tindakan meminta bantuan kewangan atas alasan mengalami kesempitan hidup daripada golongan selebriti sebegitu sudah dilakukan sejak tiga tahun lalu. – HIBGLAM