KALAU awak tak datang cari anak awak, anak tak mungkin akan datang cari awak.”
Itu kata pelakon Shakilla Khoriri yang juga bekas isteri kepada, Fizi Ali sekali gus menafikan dakwaan bahawa dirinya melarang anaknya, Ameena Sofia, 5, bertemu dengan penyampai radio itu sehingga kini.
Jelas Shakilla, 35, dia bagaimanapun tidak berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan Fizi sebagai bapa kepada satu-satunya anak mereka.
Sebagai bapa, kalau rasa nak (bersama) anak, munculkan diri. Jangan MIA (hilang begitu sahaja). Jangan ghaib.
“Jangan cakap dalam media sosial begitu dan begini. Dia (Fizi) yang hilang,” katanya yang ditemui HibGlam pada sebutan kes hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Alam sebentar tadi.
Mengulas tuduhan bahawa dia menyekat nombor telefon Fizi, 37, Shakilla tidak menafikan perkara tersebut namun ada sebab mengapa dia bertindak sedemikian.
“Kenapa nombor Fizi disekat, kena tanya dia sendiri. Saya ‘block’ sebab ada campur tangan isteri dia.
Apa yang dia dah buat dengan Ameena, saya ada bukti dan serahkan kepada peguam saya.
“Sebab ‘block’ saya tak berminat nak bercakap dengan orang selain daripada bapa Ameena. Walaupun itu isterinya,” jelasnya.
Shakilla turut menafikan dakwaan Fizi ada menghubunginya banyak kali selepas tercetusnya insiden tidak dapat berjumpa anak tempoh hari.
“Yang dia kata dia telefon saya berkali-kali mencari anak, tidak betul semua itu.
Demi Allah saya cakap tiada, segala rekod dan bukti saya sudah serahkan kepada peguam saya. Dia tiada telefon atau WhatsApp saya di mana-mana.
“Dia hanya keluarkan kenyataan demi kenyataan dalam media sosial,” katanya lagi.
Hadanah bermaksud permohonan penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.
Pada bulan lalu, Fizi memfailkan kes hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini kerana Shakilla enggan membenarkan dia bertemu anaknya.
Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla pada 18 Februari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Ameena Sofia. – HIBGLAM