Bintang BTS, GOT7 bakal tamat servis tentera

MELALUI tempoh ‘kehilangan’ sepanjang artis kegemaran menyertai latihan ketenteraan adalah satu penantian menyeksakan buat golongan peminat fanatik dunia hiburan K-pop.

Hari demi hari mereka menanti perkembangan terkini artis kesayangan seolah-olah menunggu berita daripada insan tercinta.

Lebih mengagumkan ada dalam kalangan peminat yang sanggup menanda kalendar mengira detik kepulangan idola mereka.

Pejam celik, dalam beberapa bulan akan datang, ada bintang pujaan akan menamatkan perkhidmatan ketenteraan dan kembali membuat kemunculan semula dalam industri.

Jinyoung GOT7

Anggota kumpulan GOT7, Jinyoung secara rasmi menamatkan perkhidmatan ketenteraan beberapa hari selepas Jay B iaitu pada 4 November akan datang .

Sepanjang dalam kem, Jinyoung tidak kerap mengemas kini perkembangan dirinya.

Selama beberapa bulan dalam kem, dia hanya memuat naik gambarnya semasa melakukan persediaan untuk Pesta Tentera 2023 pada Oktober lalu.

Peminat tidak melepaskan peluang memuat naik dan memuji aksi comelnya menari tarian Super Shy dalam aplikasi X sempena pesta tersebut.

J-Hope BTS

SELAIN Jin, rakan seperjuangannya iaitu J-Hope juga bakal menamatkan latihan ketenteraan pada tahun ini.

Sebagai ahli kedua BTS yang menyertai ketenteraan, dia akan menamatkan latihan ketenteraan pada 17 Oktober ini setelah 18 bulan berkhidmat.

Sama seperti rakannya yang cemerlang, pemilik nama sebenar Jung Ho-seok itu turut meraih pujian kerana menunjukkan dedikasi luar biasa sehingga dilantik sebagai ketua platun.

Pengiktirafan tersebut bukan semata-mata berdasarkan pencapaian individu, bahkan mencerminkan penghargaan tinggi J-Hope yang dihormati rakan seperjuangan lain.

Jay B GOT7

KETUA kumpulan GOT7, Jay B yang mendaftarkan masuk ketenteraan pada 2 Februari 2022 dijadualkan menyempurnakan perkhidmatannya pada 1 November ini.

Tempoh berkhidmat pemilik nama sebenar Lim Jae-beom melebihi 18 bulan kerana dia hanya berada dalam perkhidmatan awam.

Meskipun berada dalam kem tentera, dia sempat menandatangani kontrak eksklusif bersama syarikat baharu iaitu Mauve Company.

Ini menunjukkan, Jay B akan lebih fokus dalam kariernya selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan kelak.

Jin BTS

SELEPAS mendaftar masuk latihan ketenteraan pada 13 Disember 2022, kerinduan peminat terhadap Jin BTS sudah seperti tidak lagi dapat ditahan.

Sebagai ahli BTS yang pertama menyertai latihan ketenteraan, dia bakal menamatkannya pada 12 Jun depan iaitu sehari sebelum ulang tahun penubuhan kumpulan lelaki itu.

Semasa latihan, pemilik nama lengkap Kim Seok-joong itu menunjukkan prestasi cemerlang sehingga dinaikkan pangkat. Dia kini bertindak sebagai pembantu pengajar di kem latihan di Yeoncheon, wilayah Gyeonggi.

Jin juga digelar tentera elit serta berpeluang mengambil cuti tambahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok