Bersabarlah, awak cantik luar dalam – Ibu Zahirah Macwilson

TERKILAN wajah anak disamakan dengan pembantu rumah, ibu kepada aktres Zahirah MacWilson, Maslinda Yusoff mengakui sedih melihat puteri sulungnya dihina pelakon, Fathia Latiff.

Enggan berdiam, Maslinda, 50, tampil memberikan sokongan kepada anak dan menantunya, Aiman Hakim Ridza, selain berharap mereka terus bersabar mendepani  dugaan itu.

“Semua ini ujian daripada Allah. Bersabarlah Zahirah dan Aiman. Sedih betul mama dengar bila orang menghina, mengeji, buruk- burukkan anak dan menantu mama.

“Semuanya fitnah semata-mata. Lagi-lagi kakak (Zahirah) tengah mengandung sekarang, jangan sedih okey. Mama dan ayah sentiasa ada di sisi kamu. Kami sangat sayang kakak.

“Tolong berhenti menghentam dan membuli wanita mengandung!,” tegasnya menerusi Instagram Story.

Lebih mengenali anak berbanding sesiapa pun, Maslinda memuji keperibadian Zahirah yang bukan sahaja memiliki kecantikan luar dan dalam, malah merupakan seorang anak, ibu dan isteri penyanyang.

“Awak (Zahirah) mempunyai kecantikan luar dan dalam. Seorang anak, ibu dan isteri yang penyayang. Saya sayang awak,” ujarnya.

Isu itu mula meledak dalam media sosial apabila Fathia tampil dalam sebuah video menyamakan wajah Zahirah seperti bibik atau pembantu rumah bagi membalas komen netizen yang mengatakan Zahirah lebih cantik berbanding dirinya

Terus melakukan provokasi, pelakon berusia 37 tahun itu turut mendakwa Zahirah membuat pembedahan kosmetik pada bahagian bibir.

Sebelum ini, Aiman dan Fathia pernah menjalinkan cinta selama dua tahun, namun hubungan mereka berakhir pada 2015.

Selepas itu, Aiman mendirikan rumah tangga bersama Zahirah pada 20 Februari 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Isaac Raees yang kini berusia dua tahun.

Pasangan sama cantik sama padan itu juga bakal menimang cahaya mata kedua selepas memaklumkan berita gembira itu dalam Instagram pada pertengahan Disember lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok