Berhibur-berhibur juga, solat subuh jangan lupa – Alif Satar

KEMUNCULAN menerusi konsert sulung, Lochestra: Alif Satar & The Locos with the Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) sekitar penghujung tahun lalu, masih belum cukup memberi kepuasan buat Alif Satar, terutama dalam segmen di atas pentas.

Sebagai penghibur, mana mungkin dia boleh berasa puas menghiburkan peminat hanya dalam sebuah konsert, lebih-lebih lagi selepas lebih 10 tahun bergelar penyanyi.

Percaturan rezeki nyata tepat. Hanya berselang tidak sampai tiga bulan, Alif Satar & The Locos sekali lagi muncul dengan sebuah konsert, A Night With Alif Satar & The Locos and Anggi Marito, baru-baru ini, dengan persembahan dan tenaga yang cukup berbeza.

Anggi

Menariknya, konsert yang diadakan di Zepp, Kuala Lumpur itu turut menampilkan penyanyi terkenal asal negara seberang, Anggi, sebagai penyanyi undangan untuk menghiburkan kira-kira 2,000 peminat yang hadir pada malam tersebut.

Biar tahap kesihatan Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd. Satar, 33, kurang dek masalah sakit tekak, namun itu bukan alasan buat penghibur serba boleh berusia 33 tahun itu untuk tidak memberikan yang terbaik.

Tirai pentas terlebih dahulu dibuka dengan persembahan daripada Anggi dengan seleksi tiga buah lagu, antaranya Hampa, Cara Mencintaimu dan Tak Segampang Itu.

Anggi yang pertama kali membuat persembahan di Malaysia mengakui, berasa sangat gembira dan teruja apabila berpeluang menghiburkan peminatnya di sini.

“Saya tidak sangka akan berada di Malaysia dan menghiburkan peminat di sini. Kali pertama saya datang ke sini dan terharu dengan sambutan peminat yang cukup hebat,” ujarnya.

PENYANYI seberang, Anggi Marito teruja apabila buat pertama kali hadir menghiburkan peminatnya di Malaysia. – M. FIRDAUS M. JOHARI

Anggun mengenakan persalinan gaun merah, Anggi kemudian meneruskan persembahan dengan empat buah lagu secara medley iaitu Peri Cintaku, Dibalas Dengan Dusta, Tanya Hati dan Akhir Cerita Cinta.

Selepas memberi laluan azan isyak, Alif Satar & The Locos tampil mengambil tempat, sekali gus menghangatkan lagi suasana pentas.

Tanpa berlengah-lengah, Alif menghiburkan peminatnya dengan persembahan pertama menerusi lagu Akhiri Penantian, diikuti Cukup Indah.

Tak jemu

Alif ketika berucap, melahirkan rasa gembira apabila sekali lagi dapat menghiburkan peminatnya yang tidak pernah jemu memberi sokongan terjalanan kariernya.

“Alhamdulillah, sekali lagi saya dapat berhimpun dengan peminat kesayangan saya.

“Meriah! Sejujurnya saya tidak puas menghiburkan anda pada konsert sebelum ini,” katanya.

SEKITAR 2,000 penonton hadir menyaksikan konsert A Night With Alif Satar & The Locos and Anggi Marito di Zepp, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sempat menyelitkan pesanan, Alif tidak pernah jemu mengingatkan peminatnya untuk turut sama menyertai program solat subuh secara berjemaah di masjid, Geng Subuh Macam Jumaat, yang digerakkan sejak beberapa bulan lalu.

“Berhibur, berhibur juga. Solat subuh jangan lupa. Jom kita sama-sama memeriahkan masjid dengan solat jemaah. Lepas solat, kita boleh terus berjoging,” katanya.

Meneruskan persembahan, Alif kemudian menghiburkan peminat dengan deretan lagu popularnya seperti Jakarta, I Want You To Love Me, Sesungguhnya Aku, Jangan Nakal, Anugerah Terindah dan Lelaki Seperti Aku.

Konsert A Night With Alif Satar & The Locos dan Anggi Marito yang berlangsung selama dua jam itu turut menampilkan kolaborasi istimewa Alif Satar dengan kumpulan nasyid terkenal, Raihan yang menjadi idolanya sejak dahulu lagi.

Menerusi duet dengan Raihan, Alif menyanyikan lagu Puji-Pujian dan Syukur (medley), Iman Mutiara dan Sesungguhnya 2019.

Tirai persembahan Alif pada malam itu, ditutup dengan penuh kepuasan.

Jelas tergambar kepuasan pada riak wajah penyanyi itu melihat penonton yang hadir bersorak, sebagai tanda gembira dan terhibur dengan persembahan yang dipersembahkan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok