Bercuti di Al Ula, BCL dikecam netizen

NAMA penyanyi dan pelakon terkenal seberang, Bunga Citra Lesrai kembali ‘panas’ apabila dihujani kecaman ramai selepas berkongsi momen percutian di lokasi dilaknat, Kota Al Ula, Arab Saudi baru-baru ini.

Tidak berahsia, Bunga atau mesra disapa sebagai BCL secara terbuka memuat naik foto-fotonya menikmati percutian di kota terlarang tersebut bersama suami, Tiko Aryawardhana dan anak lelakinya, Noah Aidan Sinclair.

Dalam beberapa perkongsian, dia dilihat bergambar di hadapan tembok cermin gergasi popular di lokasi tersebut selain berenang di sebuah kolam renang di situ.

Kesemua perkongsian tersebut membuatkan ramai pengikut Instagramnya berasa kurang senang kerana berpendapat BCL tidak sepatutnya bercuti di lokasi tersebut yang sangat dihindari oleh Nabi Muhammad SAW.

“Kenapa memilih bercuti ke kota larangan selepas menunaikan umrah? Rasa kecewa melihatnya,” komen netizen.

Tidak membalas, BCL bagaimanapun menjawab reaksi negatif ramai dengan pinned komen daripada sebuah agensi pelancongan dan seorang wanita bahawa tidak semua lokasi di Kota Al Ula dilarang untuk dilawati.

“Untuk pengetahuan semua, bukan semua tempat di wilayah Al Ula terlarang. Hanya Madain Saleh atau Hegra dilarang kerana di sana banyak makam kaum Tsamud, wallahualam,” komen agensi pelancongan @arminareka_travel.

“Yang tidak digalakkan untuk pergi adalah Madain Saleh (Hegra). Tempat ini sekitar 30 kilometer dari Al Ula. Mohon buat bacaan lebih ya,” kata seorang wanita dikenali sebagai @noorazninatasha.

Pada 31 Disember lalu, BCL terbang ke Tanah Suci buat pertama kali bagi menunaikan ibadah umrah bersama keluarga termasuk ibunya, Emmy Muchlis.

Penyanyi lagu Ingkar itu turut melakukan badal umrah buat suami pertamanya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung.

Untuk rekod, Al Ula terkenal sebagai tempat turunnya azab Allah SWT kepada kaum Nabi Saleh.

Wujud kekeliruan apabila ada pihak yang mengatakan tidak boleh melawat Al Ula, tetapi ada segelintir pihak pula berpendapat lokasi tersebut masih boleh dikunjungi orang ramai bergantung ke­pada tujuan dan niat asal individu tersebut iaitu untuk ziarah serta mengambil iktibar daripada peristiwa terdahulu.

Selepas beribu tahun sepi, kerajaan Saudi hari ini membuka kota itu sebagai kawasan pelancongan sehingga mendatangkan tanda tanya buat umat Islam di seluruh dunia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok