BCL tunai umrah buat Allahyarham Ashraf

Alhamdulillah, malam ini (kelmarin) menjalankan ibadah umrah untuk Ashraf.”

Demikian perkongsian penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia Bunga Citra Lestari atau BCL yang gembira dapat  melunaskan impian melaksanakan ibadah umrah buat bekas suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Berkongsi lanjut perkara itu, BCL, 40, berharap ibadah tersebut diterima Allah SWT.

“Insya-Allah diterima oleh Allah SWT,” katanya ringkas.

Sementara itu, dalam perkongsian berbeza, pelantun lagu Cinta Sejati itu menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah bersama keluarganya.

Rasa sangat khusyuk, terharu dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah dan beribadah di hadapan Kaabah.

“Saya sangat bersyujur kerana akhirnya dapat berada di sini dengan keluarga, subhanallah,” katanya lagi.

Terdahulu, BCL berangkat ke Mekah ditemani suaminya, Tiko Aryawardhana dan anaknya, Noah Aidan Sinclair serta ibunya, Emmy Muchlis pada 31 Januari lalu.

Pada 2 Disember tahun lalu, BCL melangsungkan pernikahan dengan Tiko di Bali, Indonesia selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal.

Sebelum itu, dia mendirikan rumah tangga bersama Ashraf pada November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Noah.

Jodoh pasangan tersebut hanya 12 tahun apabila Ashraf dilaporkan meninggal dunia pada Februari 2020 akibat serangan jantung di kediaman mereka di Jakarta. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok