Banglo Seksyen 12 sarat pusingan plot

BANGLO Seksyen 12, tajuknya sahaja bagaikan sudah memberi bayangan terhadap elemen seram filem ini, bahkan cukup mampu membuat khalayak berdiri bulu roma meskipun hanya sekadar melihat trailer dan poster.

Filem adaptasi novel terlaris tersebut akan menghiasi pawagam seluruh negara dengan kisah sarat pengajaran dan tidak ketinggalan plot twist yang segar selain dijangka menjangkau standard kebiasaan filem bergenre serupa.

Naskhah yang merupakan filem sulung terbitan dan arahan Intan Ladyana arahan bersama Dharma Nasution melalui Prisma Pictures Sdn. Bhd. itu dijangka meletakkan penanda aras baharu buat filem bergenre thriller tanah air.

Bukan naskhah klise

Berbekalkan pengalaman lakonan seiring minat mendalam dalam genre seram, Intan bersyukur kerana sentuhan pertamanya akan menemui penonton selepas lebih tiga tahun digarap rapi.

“Perasaan saya sekarang bercampur baur antara gembira dan gementar. Ini adalah impian dan hasil titik peluh saya dan pasukan produksi, lagi pula saya memang minat genre seram. Bagi saya genre sedemikian tak lapuk dek zaman.

“Kekok juga pada awalnya tetapi mujurlah ada Dharma untuk mengarah bersama, kami garap dengan teliti daripada awal dan mengolah sedikit dengan izin penulis novel naskhah tersebut.

“Susah memang susah apatah lagi saya juga turut berlakon bersama, kami berdepan cabaran banyak juga memandangkan penggambaran ketika musim pandemik pada penghujung tahun 2020, syukur semuanya dipermudahkan,” tuturnya serius.

Ditanya mengapa memilih ramai wajah baharu untuk mewarnai karya berkenaan, Dharma Nasution berkata, semua pelakom menjalani ‘casting’ terlebih dahulu, selain menyertai kelas lakonan bersama Allahyarham Azhari Zain.

“Rata-ratanya pelakon baharu tetapi mereka melalui sesi uji bakat dan ditambah dengan kelas lakonan sebelum memulakan penggambaran, bergandingan pula dengan bintang lama seperti Intan Ladyana dan Mustaqim Bahadon, semuanya mengalir sebati.

“Ketika itu, nama Hariz Hamdan dan Aniq Suhair tidak segah sekarang tetapi saya sudah dapat melihat mereka boleh pergi jauh, naskhah ini memang berat dan berselirat tetapi mereka jayakan dengan baik sekali.

“Saya yakin pencinta filem seram tanah air akan menyukai Banglo Seksyen 12 memandangkan alur ceritanya sarat plot dan latar belakang masa yang berbeza, ada di tahun 2006 dan ada di tahun 2026, tidak klise,” ujarnya panjang lebar.

Terbitan dan arahan sulung Intan Ladyana bersama Dharma Nasution, filem Banglo Seksyen 12 dibintangi barisan pelakon seperti Mustaqim Bahadon, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Faez Malek, Farah Yasmin dan ramai lagi.

Cabaran watak

Sementara itu, Faez Malek yang memegang watak Fahmi berkata, selain naskhah berat, watak yang dilakonkan juga sangat mencabar kekuatan lakonan, namun menuntut ekspresi berbeza yang berubah-ubah.

“Watak Fahmi sedikit kompleks, saya banyak bermain dengan dinamik dalam lakonan dan juga ekspresi supaya karakter tersebut lebih hidup, lagi pula saya kena bawa peranan budak muda yang masih menuntut di kolej.

“Mujurlah pengarah memberi kebebasan untuk ‘improvise’ setiap skrip mengikut cara saya tetapi tidaklah lari begitu jauh memandangkan naskhah ini adaptasi novel. Ini juga lakonan pertama saya dalam filem, memang saya pulun sehabis baik,” jelasnya.

Senada dengan Faez, pelakon Silfeny Osman yang memegang watak Riena pula berkata, cabaran buatnya lebih ke arah emosi dan hala tuju lakonan supaya benar-benar berkesan dan sampai kepada penonton.

“Filem ini bukanlah cerita yang straight forward, banyak plot menarik yang bakal membuat penonton berfikir apa sebenarnya yang berlaku, jadi lakonan saya juga harus setara dengan naskhah seberat itu, kena nampak semula jadi.

“Banyak juga saya belajar di set antaranya menari, demi mengikut tuntutan watak, saya memang curahkan segala teknik dan ilmu lakonan yang saya ada.

“Boleh dikatakan, filem ini memberi seribu pengalaman manis,” ujarnya menutup bicara.

Edaran Metrowealth, filem Banglo Seksyen 12 sudah pun ditayangkan di pawagam bermula 25 Januari lalu.

Poster rasmi filem Banglo Seksyen 12

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok