PENYANYI dangdut kontroversi, Baby Shima menyifatkan individu yang gemar memberi respons negatif, terutama melemparkan kutukan terhadapnya sebagai termasuk dalam golongan kurang kasih sayang.
Kata pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli, 29, itu, kelompok sebegitu sebenarnya yang laparkan perhatian dan sanggup berhabis masa semata-mata demi mencari kesalahan orang lain sehingga ketagih berbuat sedemikian.
“Saya anggap orang yang gemar mengutuk, menghina dan mengecam ini adalah orang yang kurang kasih sayang dan lapar perhatian.
Mungkin juga mereka ini tiada kehidupan atau menjalani hidup yang menyedihkan sampai sanggup menghentam orang lain demi memuaskan kekosongan hati.
“Mereka yang bersikap begini jadi ketagih kalau komen jahat dalam laman sosial diperkatakan, saya kasihankan golongan itu,” kata Baby Shima kepada Kosmo! Online.
Kerap menjadi sasaran kebencian umum dek apa sahaja tindakannya yang mudah mendatangkan skeptikal, penyanyi Roadblock Hatiku itu sengaja menyelitkan peringatan kepada netizen menerusi lagu baharu bertajuk Kena Marah Pun (Tak Kisah).
Single yang digubah semula daripada lagu KRU terbitan 2006 menerusi album 10 Di Skala Richter tersebut ditukar kepada judul Kena Kecam Pun Tak Kisah.
Biarpun kedengaran seperti satu sindiran kepada umum, Baby Shima mengakui terkejut dengan sambutan terhadap muzik video lagu berkenaan yang disiarkan menerusi saluran YouTube KRU Music sejak 18 Januari lalu.
Tidak menyangka masih disayangi peminat biarpun sering menjadi sasaran kecaman, Shima mendedahkan muzik video gandingan bersama Ifa Raziah yang turut menampilkan Datuk Norman Abdul Halim itu setakat ini sudah meraih sebanyak 645,000 tontonan.
Syukur kerana peminat memberikan sokongan padu apatah lagi turut menonjolkan penampilan istimewa anggota KRU sendiri iaitu Datuk Norman selain rakan seperjuangan senior, Ifa Raziah.
“Di sebalik kebencian netizen, masih ramai memberikan semangat apatah lagi seleksi ini lebih kepada peringatan supaya sentiasa berbaik sangka sesama insan.
“Ramai yang suka mengecam bukan sahaja kepada artis, bahkan bergaduh sesama sendiri dalam media sosial sedangkan platform itu sepatutnya digunakan untuk merapatkan silaturrahim,” ujarnya.
Pada masa sama selebriti yang terkenal di Indonesia itu turut menyangkal dakwaan sengaja menyindir netizen menggunakan lagu tersebut.
“Lagu Kena Kecam Pun Tak Kisah ini cuma nak beritahu kecamlah saya puas-puas sebab saya tak kisah pun, tapi jangan ke tahap memfitnah saya akan ambil tindakan,” katanya. HIBGLAM